Pemuda Gerakan membantah cadangan Kementerian Kesihatan untuk memperkenalkan skim Insurans Kesihatan Kebangsaan (NHI) walaupun ia bertujuan untuk menampung kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat di hospital kerajaan.

"Skim itu itu tidak akan memberi manfaat kepada orang ramai secara umum," kata Naib Presiden Kebangsaan Pergerakan itu, S. Paranjothy, dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pemuda Gerakan menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengkaji skim insurans penjagaan kesihatan swasta dan mencari jalan bagaimana ia dapat disesuaikan dengan hospital kerajaan, daripada melaksanakan sesuatu yang tidak sesuai untuk dilaksanakan.

Menurut laporan Bernama, Skim NHI itu dijadual dilaksanakan akhir tahun depan dengan kebanyakan rakyat Malaysia dikehendaki membuat caruman wajib.

Skim itu yang diumumkan baru-baru ini akan menyediakan pakej khas untuk anggota yang mahu perkhidmatan yang lebih baik.

Mereka yang dikecualikan daripada membayar termasuk kira-kira sejuta kakitangan awam, kira-kira 200,000 orang kurang upaya, 1.8 juta warga emas, 435,000 pesara, 250,000 penduduk miskin tegar dan penganggur yang tidak dapat ditentukan jumlahnya.