Paling Popular
Terkini

Sebarang dasar kerajaan bagi mengawal pemilikan media oleh parti politik bertujuan membebaskan media daripada kawalan secara tidak langsung oleh pihak lain yang menyebabkan laporan berat sebelah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, isu yang ada bukan hanya gesaan kepada parti politik untuk mengurangkan kepentingan dalam syarikat media, tapi juga yang lebih besar adalah berapa benyak kuasa yang diberikan dalam menentukan agenda laporan.

"Terdapat kebimbangan laporan yang dibuat oleh media tertentu cenderung berpihak kepada parti politik tertentu kerana pemilikan syarikat media itu.

"Namun, jika diperhati, kebimbangan lebih kepada kerana adanya kawalan," kata Gobind kepada pemberita selepas sesi perbincangan yang diadakan di program Malaysia, A New Dawn di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Gobind, kebimbangan seperti itu merupakan gesaan kepada kerajaan baru bagi membantu mewujudkan sistem yang membolehkan media menjalankan tugas secara bebas dan tidak berpihak.

"Jadi, persoalannya adalah sama ada pemilikan saja yang menentukan bagaimana sesebuah laporan berita akan disiarkan.

"Ada pihak yang berkata tidak, ia bukan saja pemilikan, tapi juga kawalan. Dan saya fikir, pendapat itu betul dan kami sedang menelitinya," katanya.

Gobind juga menjelaskan bahawa kerajaan belum membuat keputusan berhubung dasar untuk mengawal pemilikan syarikat media termasuklah sama ada akan membenarkan parti politik tertentu memegang kepentingan kecil dalam syarikat itu.

"Jadi ia bukan semudah sama ada kita membenarkan sepuluh peratus (kepentingan) atau lapan peratus atau cadangan lain.

"Apa yang kita mahu? Kita mahu mewujudkan suasana di mana tiada campur tangan dalam laporan yang dibuat oleh media bebas," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS