Paling Popular
Terkini
story images
story images

Exco Melaka Norhizam Hassan Baktee digesa memohon maaf berhubung tindakannya meninggikan suara kepada penduduk yang tersebar melalui sebuah klip video, semalam.

Menurut Setiausaha DAP Melaka Khoo Poay Tiong, Norhizam wajar memohon maaf atas kata-kata dan tindakannya itu.

"Kita ini tokoh masyarakat, kenalah berhati-hati. Jika tidak kita akan berada dalam keadaan yang merugikan biarpun apa yang kita lakukan itu adalah dengan tujuan yang baik.

"Orang hanya akan melihat reaksi dan kata-kata yang dia gunakan terhadap orang awam. Itu yang akan menjadi tumpuan," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Khoo lagi, DAP Melaka akan melakukan sidang media dan Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew dijangka akan memberikan kenyataan berkenaan isu tersebut.

Sebuah klip video tular memaparkan Norhizam meninggikan suara ketika berbincang dengan sekumpulan penduduk tentang penutupan jalan.

ADUN Pengkalan Batu itu mendakwa dirinya akan “berubah menjadi Hulk” apabila penduduk di kawasan pilihan raya yang diwakilinya dibuli dan menyalahkan “pemimpin cawangan Umno" mencetuskan keberangannya dengan soalan bertubi-tubi, semalam.

"Saya mengaku saya panas baran, dan dia (anggota Umno itu) tahu (mengenainya) cara buat saya marah.

"Saya bukan pengecut dan tidak akan tunduk dengan taktik yang digunakan (oleh) musuh untuk memburuk-burukkan saya,” katanya mengulas insiden itu seperti dipetik oleh The Star.

Khoo berkata biarpun tindakan menutup jalan itu mungkin tidak salah, Norhizam tetap perlu memohon maaf atas caranya mengendalikan situasi itu.

"Kami tak mahu komen tentang keputusan menutup jalan itu. Ini tentang sikapnya ketika bercakap," kata Khoo.

Menurut Khoo lagi, DAP juga akan berbincang tentang kedudukan Norhizam di dalam parti itu.

"Kita akan bincang hal itu kemudian. Sekarang belum sampai ke tahap itu, tetapi kami tetap akan membincangkannya," katanya.

Lihat Komen
ADS