Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pihak supaya jangan mempersoalkan siasatan yang sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Bebas berhubung kes rakaman video wanita berbogel sambil melakukan ketuk ketampi dalam tahanan polis.

Perdana Menteri berkata, badan bebas itu perlu diberi peluang untuk menyudahkan siastan mereka dengan penuh tanggungjawab.

"Laporan belum lagi ditulis, tetapi kita sudah sibuk. Ada pula yang mempersoalkan cara-cara badan bebas ini menjalankan kerja mereka.

"Ini bukan perkara yang patut ditimbulkan, biar mereka jalankan tugas mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada peserta Kejohanan Golf Umno Malaysia 2005 di Kelab Golf Perkhidmatan Awan Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Abdullah yang diminta mengulas mengenai kritikan yang dibuat terhadap suruhanjaya bebas itu berkata, beliau juga sedang menunggu laporan badan itu tanpa terlebih dahulu mahu memberi pandangan atau membuat keputusan mengenai kes tersebut.

Maklumat lengkap

Menurut Bernama, Presiden Majlis Peguam Yeo Yang Poh semalam antara lain membuat kenyataan bahawa badan itu perlu memanggil lebih ramai pakar untuk memberi keterangan.

Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata badan bebas yang beliau cadangkan penubuhannya itu akan mengeluarkan laporan berdasarkan fakta dan maklumt lengkap serta saksama.

Diaju soalan bahawa polis sepatutnya menjelaskan kerakyatan sebenar mangsa terbabit terlebih awal bagi mengelakkan kekeliruan berterusan, Perdana Menteri berkata:

"Saudara ingat mereka (orang ramai) akan percaya pada polis dalam situasi itu. Dengan begitu sekali akhbar membuat laporan, tidak ada dalam masa itu kecenderungan untuk mempercayai polis. Sebab itu saya telah cadangkan biar badan bebas yang buat siasatan," katanya.

Orang ramai sebelum ini beranggapan bahawa wanita terbabit ialah warga China sehinggalah siasatan badan itu menjelaskan mangsa sebenarnya adalah wanita Melayu rakyat Malaysia.