Ahli seismologi Thailand Dr Smith Dharmasaroja hari ini menafikan beliau pernah meramalkan bahawa Malaysia dan Singapura akan dilanda tsunami antara bulan ini dan Januari tahun depan.

Dr Dharmasaroja, 70, yang membuat ramalan pada 1998 mengenai kejadian tsunami di Phuket dan kawasan kepulauan Andaman pada 2004, berkata kejadian tsunami dan gempa bumi sukar diramalkan dan tiada saintis yang mampu menyatakan masa sebenar bencana itu akan berlaku.

"Kami hanya boleh berkata bahawa berdasarkan data sejarah, bagi setiap50, 80 atau 100 tahun, gempa bumi kuat dan tsunami akan berlaku. Kami tidak dapat nyatakan tarikh sebenarnya... kalaulah saya boleh memberitahunya (tarikh sebenar), saya akan jadi orang kaya," katanya apabila diminta mengulas tentang khabar angin bahawa tsunami akan melanda dua negara itu

tidak lama lagi.

E-mail dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang kononnya memetik amaran Dr Dharmasaroja itu tersebar dengan meluas di Malaysia dan Singapura sejak bulan lalu bagi memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengunjungi pantai pada bulan ini dan Januari tahun depan.

Menurut Bernama, khabar angin itu tersebar selepas beliau meramalkan bahawa dua negara berkenaan menghadapi bahaya dilanda tsunami berikutan pergerakan pusat gempa ke arah kepulauan Andaman dan Nicobar.

Amaran tsunami

Pada 26 Disember tahun lalu, satu gempa bumi kuat berukuran 9.0 pada skala richter di luar pantai Sumatera menyebabkan berlakunya tsunami yang mengorbankan lebih 200,000 orang dan memusnahkan kediaman berjuta-juta penduduk di beberapa negara di rantau ini.

Pada 1998, Dr Dharmasaroja, yang ketika itu mengetuai Jabatan Kajicuaca Thailand, meramalkan bahawa tsunami akan melanda kawasan pantai kepulauan Andaman negara ini, tetapi ramalan beliau ini tidak diberi perhatian serius.

Bagaimanapun, apabila ramalan beliau itu menjadi kenyataan dan meragut kira-kira 5,300 nyawa di Thailand, kerajaan negara ini melantik beliau sebagai naib menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menyelia penubuhan Pusat Amaran Bencana Nasional yang kemudian telah memasang satu sistem amaran awal tsunami.

Walaupun beberapa tempat di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak turut dilanda tsunami pada tahun lepas, namun sebahagian besar kawasan pantai barat Malaysia dan Singapura terselamat kerana kedudukannya yang dilindungi pulau Sumatera.

Dr Dharmasaroja berkata, amarannya bahawa Malaysia dan Singapura menghadapi bahaya dilanda tsunami bukan bertujuan menimbulkan ketakutan di kalangan orang ramai, tetapi semata-mata dibuat berdasarkan data seismologi yang ada sekarang.

Pemerhatian

Dr Dharmasaroja berkata, beliau membuat pemerhatian itu berpandukan data terkini yang menunjukkan bahawa pusat gempa berkenaan sedang menuju ke kepulauan Andaman dan Nicobar, yang boleh memberi kesan besar terhadap keadaan di Selat Melaka.

"Sekiranya pusat gempa ini terus bergerak ke utara dan tsunami berlaku, ombak akan bergerak ke arah Selat Melaka yang sempit dan cetek itu. Ini boleh mengakibatkan kerosakan besar jika persiapan awal tidak dibuat," katanya.

Ahli seismologi itu berkata, beliau harap pihak berkuasa Malaysia dan Singapura akan memberi perhatian terhadap pergerakan pusat gempa berkenaan serta mengambil langkah yang diperlukan.

"Kami perlu lihat pada data, buat simulasi untuk melihat kesan yang dibawa oleh tsunami sekiranya gempa bumi berlaku di utara, dan seterusnya mengadakan sistem ramalan awal," katanya.

Thailand sedang membina 76 menara amaran di enam wilayah selatannya manakala tiga boya berharga 180 juta baht akan beroperasi di Laut Andaman menjelang pertengahan tahun depan.