Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid berkata lawatannya ke China baru-baru ini adalah kerana beberapa isu yang timbul berkaitan dengan imigresen dan bukannya disebabkan isu video klip wanita bogel di lokap polis yang dikatakan rakyat China.

Beliau berkata, pemergiannya ke China selama lapan hari itu mulai 5 Disember lalu juga adalah kerana arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 10 November lalu, lebih awal sebelum isu video klip itu timbul pada 24 November lalu.

"Tetapi pemergian saya ke negara itu terpaksa ditangguh kerana pada 17 November saya telah diarahkan oleh Perdana Menteri untuk ke Pakistan terlebih dahulu atas urusan rasmi," katanya dalam kenyataan akhbar mengenai lawatannya ke China pada 5 hingga 12 Disember lalu yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Bernama, Azmi berkata, beliau hanya dapat berlepas ke China pada 5 Disember selepas mendapat pengesahan daripada Kedutaan Malaysia di China.

"Banyak pihak menyangka saya pergi ke negara itu semata-mata kerana isu video klip itu. pada hal tujuan asal saya ke sana bukan kerana isu itu.

Isu penguatkuasaan imigresen

"Kunjungan itu (ke China) bertujuan menjelaskan beberapa perkara mengenai persepsi rakyat dan kerajaan negara itu terhadap isu-isu penguatkuasaan imigresn dan beberapa penguatkuasaan yang lain terhadap pelancong China yang datang ke negara ini," jelasnya.

Azmi berkata, secara kebetulan lawatannya ke China itu yang hampir dengan berlangsungnya Sidang Kemuncak Asia (EAS) dan Asean+3 di Kuala Lumpur telah mampu memberi keselesaan dalam pertemuan Perdana Menteri China Wen Jiabao dengan Abdullah pada sepanjang sesi sidang kemuncak tersebut.

"Sehubungan itu, adalah jelas sekali bahawa hubungan antara kedua-dua negara ini sangat penting memandangkan China pada hari ini merupakan sebuah kuasa ekonomi yang terulung di dunia," tambahnya.

Beliau berkata, pada keseluruhannya, lawatannya ke China telah mendapat liputan meluas di seluruh negara itu dan ia mencerminkan keikhlasan Malaysia dalam menjaga keharmonian serta "hubungan dua hala yang wajar dilihat dalam perspektif yang lebih mendalam dan tidak sekadar isu video klip semata-mata."