Banjir di Kedah kritikal, 4 anggota penyelamat hilang
Empat anggota penyelamat dihanyutkan arus deras apabila bot yang dinaiki terbalik manakala keadaan banjir di Kedah semakin kritikal mengakibatkan 10,941 mangsa dipindahkan.
Empat anggota penyelamat dihanyutkan arus deras apabila bot yang dinaiki terbalik manakala keadaan banjir di Kedah semakin kritikal mengakibatkan 10,941 mangsa dipindahkan.
Banjir yang melanda daerah Kubang Pasu, Padang Terap dan Langkawi sejak dua hari lalu merebak ke daerah Kota Star sejak awal pagi tadi menyebabkan 1,431 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan.
Di daerah Kubang Pasu yang merupakan kawasan paling teruk terjejas, operasi menyelamat masih diteruskan sehingga menyebabkan empat anggota penyelamat dari Loji Air Pelubang dihanyutkan arus deras pada kira-kira jam 10 pagi tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah berkata, anggota penyelamat terbabit sedang melakukan rondaan di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan Lubuk Batu dengan sebuah bot.
"Tiba-tiba bot mereka terbalik dipukul arus deras dan kesemua mereka dihanyutkan. Operasi mencari keempat-empat anggota penyelamat yang tidak diketahui nasib masing-masing itu sedang dilakukan dan laporan polis telah dibuat," katanya.
Katanya, setakat jam 11 pagi, seramai 6,651 mangsa dari 40 kampung dan taman perumahan dipindahkan di 30 buah pusat pemindahan yang melibatkan sekolah, masjid, dewan, perpustakaan dan tokong Cina.
Beliau berkata kampung berhampiran pekan Changlon yang sebelum ini terjejas teruk kini semakin pulih tetapi paras air mula meningkat ke kawasan arah selatan terutama di pekan Jitra, Kodiang dan Naga.
Lebuhraya ditutup
Katanya, Jalan Jitra-Alor Star berhampiran pekan Jitra masih ditutup manakala Lebuhraya Utara-Selatan di Kilometer 28.5 hingga 28.7 terus ditutup di kedua-dua hala kepada semua kenderaan kerana jalan itu dinaiki air melebihi 0.5 meter.
Menurutnya, paras air di kawasan yang dilanda banjir di Kubang Pasu ialah melebihi satu meter manakala kebanyakan rumah di Kampung Biak, Kampung Malau dan Kampung Manggol ditenggelami air.
Menurut Bernama, beliau berkata bekalan makanan untuk mangsa banjir turut menjadi masalah kerana barangan makanan mentah di kedai runcit kehabisan stok.
Di Kota Star, seramai 1,431 mangsa melibatkan 266 keluarga dipindahkan ke 14 pusat pemindahan manakala kampung yang terlibat ialah Kampung Empa, Seberang Paya Empa, Derang, Bukit, Padang Temusu, Menerong, Bukit Hijau, Pondok Kepala Bukit dan kem tentera Bukit Pinang.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Kota Star berkata paras air di stesen Jabatan Pengairan Saliran Kepala Batas ialah 5.40 meter.
Jalan yang ditutup ialah di hadapan Masjid Kampung Bukit Hijau, jalan di hadapan pondok Derang, jalan Bukit Pinang ke Lengkuas dan jambatan baru ke Kepala Batas.
Pulang ke rumah
Di Padang Terap, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka tiba pada pukul 2 petang nanti untuk meninjau keadaan banjir di daerah itu serta mendengar taklimat di Bilik Gerakan Banjir Daerah.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah itu berkata seramai 2,859 mangsa dari 20 buah kampung dan kawasan ditempatkan di 22 pusat pemindahan.
"Paras air di pekan Kuala Nerang telah pun reda dan Jalan Kuala Nerang-Alor Star berhampiran pekan itu dibuka semula sejak pagi tadi," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata jalan yang masih ditutup ialah Jalan Kuala Nerang-Pedu, Kuala Nerang-Padang Sanai, Kuala Nerang-Puncak Janing dan Jalan Gunung Kerengga yang mengalami tanah runtuh.
Katanya, paras air di Sungai Padang Terap mencatat bacan 19.5 meter manakala paras bahaya ialah 18 meter.
Sementara itu, seramai 510 mangsa banjir di Langkawi yang ditempatkan di pusat pemindahan telahpun dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi tadi.

