Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zam: Syabas Wan Azizah kerana selamatkan maruah Dr M, rakyat
Diterbitkan:  Oct 12, 2018 3:13 PM
Dikemaskini: 7:19 AM

Bekas menteri Tan Sri Zainuddin Maidin memuji Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail susulan pendedahan penolakannya terhadap tawaran menjadi perdana menteri selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) menang pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.

Zainuddin melalui Twitternya membuat kenyataan itu sebagai mengulas kritikan bekas ketua Pemuda PKR Ezam Mohd Noor terhadap Wan Azizah kerana mendedahkan tawaran Yang di-Pertuan Aging Sultan Muhammad V itu.

Zainuddin yang juga dikenali sebagai Zam, menyifatkan kenyataan Ezam itu sebagai pandangan "terkebelakang" dan tak memihak kepada rakyat.

"Syabas Wan Azizah. YB adalah seorang (yang) jujur (dan) berani yang selamatkan maruah Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakyat," kata Zam.

Semalam, Ezam yang menerajui NGO Hisbah mendakwa Dr Wan Azizah tidak wajar mendedahkan titah Sultan Muhamad V kerana ia merupakan pertemuan tertutup di Istana Negara.

Ezam turut menggesa timbalan perdana menteri itu menumpukan tugasnya dan bukannya mewar-warkan tawaran jawatan sebagai perdana menteri yang pernah diterima.

Sebelum ini, Dr Wan Azizah mendedahkan pernah menolak tawaran berkenaan sebagai menghormati janji HARAPAN kepada rakyat bahawa Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri dan dirinya sebagai timbalan perdana menteri.

Dr Wan Azizah yang ketika itu merupakan presiden PKR, ditawarkan jawatan berkenaan kerana merupakan pemimpin kepada parti yang memegang kerusi paling banyak di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin berkata orang ramai maklum bahawa Dr Mahathir merupakan pilihan HARAPAN sebagai perdana menteri.

Kadir, yang juga merupakan Penasihat Media dan Komunikasi di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini turut mendakwa beberapa sultan berkempen untuk menghalang kepulangan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS