Wanita M'sia yang hilang, dilihat di Korea Utara
Keluarga empat wanita Malaysia yang hilang sejak 1978 akan meminta bantuan Korea Utara untuk mengesan mereka, selepas bekas anggota tentera Amerika, Charles Jenkins mendakwa, dia terlihat seorang daripada mereka di sana.
Keluarga empat wanita Malaysia yang hilang sejak 1978 akan meminta bantuan Korea Utara untuk mengesan mereka, selepas bekas anggota tentera Amerika, Charles Jenkins mendakwa, dia terlihat seorang daripada mereka di sana.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, beliau sedang membantu keluarga tersebut, selepas Jenkins, yang tinggal selama 40 tahun di Korea Utara, memberitahu wartawan Hideki Akiyama yang dia bertemu dengan wanita Malaysia, Ying Ying Tai beberapa kali di Pyongyang kira-kira 25 tahun yang lalu.
"Saya menemui Akiyama pagi ini dan saya berharap dapat menemui menteri luar kita pada hari Isnin. Saya yakin pihak Korea Utara tidak akan menafikannya tetapi kita perlu melalui saluran diplomatik jika terdapat bukti yang kukuh," kata Chong kepada AFP.
Chong berkata, Akiyama pulang ke Jepun untuk mendapatkan lebih banyak maklumat dan bukti dari Jenkins, yang mengecam identiti Tai melalui tahi lalat dekat mata kirinya.
Tiga lagi wanita yang turut hilang bersama Tai ialah Yap Mei Leng, Si Toh Tai Thim dan Margaret Ong Guat Choo, yang ketika itu berusia antara 19 hingga 22 tahun.
Empat rakyat Malaysia itu, bersama seorang wanita Singapura, kali terakhir dilihat pada 1978, menaiki sebuah kapal kargo laut yang berlepas dari perairan Singapura, dengan ditemani tiga lelaki.
Chong berkata, keluarga wanita terbabit telah menganggap kesemua mereka sudah mati.
"Sekarang, anggota keluarga mereka berharap dapat menemui mereka semula sebelum ibubapa mereka yang sudah tua, meninggal dunia," kata Chong.
Diculik oleh ejen
Jenkins, yang kini tinggal di Jepun bersama keluarganya, menulis sebuah buku mengenai pengalaman pahitnya di Korea Utara dan kenangan lain seperti pertemuan dengan isterinya yang berketurunan Jepun yang telah diculik oleh ejen rejim Stalin.
Katanya, Korea Utara telah menculik rakyat dari Romania, Thailand dan negara-negara lain.
"Saya melihat ramai orang tetapi saya tidak ada bukti-bukti mengenai negara asal mereka," kata Jenkins Oktober lalu ketika pelancaran bukunya itu.
Ketika berusia 24 tahun, Jenkins meredah sempadan bersalji, yang memisahkan Korea Utara dan Korea Selatan pada 1965 apabila kecewa dengan kehidupan tentera dan dihantui kebimbangan dihantar berperang di Vietnam.
Dia dibenar meninggalkan negara Stalin itu tahun lalu dan menetap di kepulauan kecil Sado yang terletak di utara Jepun, termpat isternya, Soga, dibesarkan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.