Penganggur bergelar "peragut mewah" yang memperolehi pendapatan lebih RM8,000 sebulan hasil kegiatan meragut, dihukum tiga tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur setelah dia mengaku bersalah terhadap lima tuduhan menggunakan wang haram berjumlah RM83,216 daripada aktiviti tidak sah sejak tiga tahun lalu.

Hakim Rosenani Abdul Rahman menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara bagi setiap tuduhan terhadap Abdul Khalid Hamid dan memerintahkan hukuman berjalan serentak berkuatkuasa selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara sembilan tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini.

Abdul Khalid, 46, mengaku melakukan kegiatan penggubahan wang haram untuk membayar ansuran pembelian rumah kediamannya di No 4, Jalan Sungai Congkak 32/46, Bukit Rimau, Shah Alam, Selangor sebanyak RM51,960 kepada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, mulai 3 Julai 2002 hingga 5 Julai 2004.

Selain itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah terhadap tuduhan kedua dan ketiga iaitu terlibat dalam kesalahan yang sama untuk membayar wang pendahuluan pembelian kereta Proton Perdana V6 sebanyak RM4,700 pada 31 Mei 2004 dan ansurannya sebanyak RM2,648 kepada Eon Bank Berhad di Wisma Cycle Carriage, Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur, pada 30 Jun 2004.

Bagi tuduhan keempat dan kelima, Abdul Khalid mengaku menggunakan wang haram bagi membayar wang pendahuluan pembelian kereta Mercedes Benz berjumlah RM7,000 pada 20 dan 24 Februari 2004, dan ansurannya sebanyak RM16,908 kepada Arab Malaysian Finance Berhad di Bangunan Am Finance, Jalan Yap Kwan Seng di Kuala Lumpur, mulai 25 Februari 2004 hingga 28 Julai 2004.

Kelima-lima tuduhan itu dibuat mengikut seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Bernama, Abdul Khalid yang melakukan jenayah ragut secara berseorangan sejak lima tahun yang lalu, mengaku menjadikan hasil daripada kegiatan haram itu sebagai sumber pendapatannya yang boleh mencecah antara RM8,000 hingga RM10,000 sebulan.