Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemain futsal dipanah petir: KBS digesa bertanggungjawab

ULASAN l Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mengucapkan jutaan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyertai program-program dan aktiviti-aktiviti sukan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan, sama ada di peringkat persekutuan atau negeri.

Di saat kegembiraan ini, negara dikejutkan dengan insiden tiga pemain futsal yang dipanah petir ketika menyertai perlawanan Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS) peringkat kebangsaan di padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia amat terkejut dan terkilan setelah diberitahu bahawa seorang mangsa masih lagi kritikal, tidak sedarkan diri dan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia juga menzahirkan rasa kecewa dengan keadaan yang berlaku, terutama apabila insiden itu berlaku di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Beberapa persoalan yang harus dijawab oleh pihak KBS.

Pertama: Kenapakah permainan dimulakan oleh pengadil walhal hujan dan petir sudah bermula? Jika benar keadaan ini berlaku, pihak KBS harus tegas dalam memastikan keselamatan pemain dengan menerapkan “Standard of Procedure” (SOP) kepada pengadil dan pemain.

Kedua: Kenapakah perlawanan futsal dimainkan di padang terbuka? Tidakkah Malaysia mempunyai banyak tempat-tempat futsal yang kondusif dan selamat mengikut standard FIFA. Dewan Pemuda IKATAN menggesa menteri memberikan perhatian kepada sukan-sukan “conventional”, yang lebih menyihatkan badan dan minda.

Ketiga: Kenapakah perlawanan diteruskan ke peringkat seterusnya disaat seorang pemain masih kritikal dan bertarung nyawa? Memandangkan kecederaan kritikal atau kematian atas padang bukanlah perkara biasa yang kita boleh lupakan sebegitu sahaja, menyebabkan pemain-pemain trauma dan hilang kekuatan mental untuk terus bermain.

Seharusnya, pihak penganjur menunjukkan solidariti dan membatalkan atau menunda perlawanan-perlawanan seterusnya.

Keempat: Kenapakah menteri hanya datang melawat mangsa-mangsa sehari selepas kejadian, walhal mangsa berada dalam keadaan kritikal dan terbabit dalam insiden yang dianjurkan di bawah KBS semperna Hari Sukan Negara?

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa pihak KBS menjaga kebajikan keluarga mangsa dengan diberikan seorang pegawai yang khusus untuk memudah-cara kebajikan keluarga mangsa sehingga mangsa stabil.

Akhir sekali, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa pihak KBS untuk memperbaiki kelemahan yang berlaku, agar Hari Sukan Negara pada tahun hadapan tidak mengundang sebarang kecelakaan yang menjejaskan keselamatan semua pemain.


SHAHIR ADNAN merupakan Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia dan Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakili dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS