Pertubuhan wanita mahu ketuk ketampi dihentikan
Beberapa pertubuhan wanita dan parti pembangkang mahu polis memberhentikan amalan ketuk ketampi sambil berbogel bagi tahanan wanita kerana ia menjatuhkan maruah golongan ini.
Beberapa pertubuhan wanita dan parti pembangkang mahu polis memberhentikan amalan ketuk ketampi sambil berbogel bagi tahanan wanita kerana ia menjatuhkan maruah golongan ini.
Pertubuhan itu terdiri daripada Dewan Muslimat Pas Pusat, pergerakan wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Women's Development Collective (WDC), All Women Action Council (AWAM) dan sayap wanita Dewan Perhimpunan Cina Selangor.
Ketua Dewan Muslimat PAS, Azizah Khatib Mat memberitahu sidang akhbar hari ini berkata, parti berkenaan berharap amalan itu dihentikan serta merta kerana ia merupakan pencabulan hak asasi manusia, suatu penghinaan kemanusiaan dan juga menyalahi hukum Islam.
Naib Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menyifatkan amalan prosedur ini sebagai penyalahgunaan kuasa oelh pihak polis.
"Ia tidak kira jika seseorang itu Melayu, China atau India. Ia bertentangan dengan hak seseorang dan hendaklah diberhentikan," katanya.
Ketua Wanita Pusat JIM, Dr Harlina Halizah Siraj pula berkata, layanan sebegitu buruk terhadap tahanan wanita merupakan penderaan seksual yang bertujuan menjatuhkan maruah dan kehormatan seseorang.
"Sekalipun ia dirasakan kaedah termudah dan berkesan untuk membolehkan barangan yang disembunyikan dalam tempat sulit ditemui, mendedahkan keseluruhan anggota badan bagi tujuan tersebut dianggap keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan langsung," katanya.
Menurut Bernama, Yasmin Masidi dari Awam pula berkata, polis hendaklah menyediakan garispanduan dalam melakukan prosedur amalan ketuk ketampi bagi melindungi tahanan.
"Tahanan hendaklah juga dilindungi. Janganlah ada sebarang tindakan menakutkan. Polis juga hendaklah telus dan adil dan jelas mengenai perkara ini," katanya.

