Umno sindir Azmin: Malu la sikit kat bakal PM...
DEWAN RAKYAT l Seorang ahli parlimen Umno menggesa kerajaan dan anggota Parlimen pemerintah supaya tidak lagi menyalahkan pentadbiran Umno-BN sebelum ini untuk keadaan semasa atau segala masalah negara hari ini.
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berkata demikian ketika Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata masalah kewangan Felda diwarisi daripada kerajaan BN sebelum ini.
“Saya ingat sesi (parlimen) ini kita tak lagi bahas perkara macam ini lagi.
“Malu la sikit, malu la kat bakal PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) [...] apa pasal soal ini. Sepatutnya
lebih baik sekarang," kata Tajuddin.
Tajuddin sebelum ini berkata masalah dan kemelut Felda disebabkan oleh pengurusan buruk, dan ini dipersetujui oleh Azmin.
“Saya sokong Pasir Salak, pengurusan tak cekap, tapi itu pun nak jadi calon (di) PD (PRK Port Dickson) yang disokong (oleh) Umno bahagian.
“Beri kuliah ini kepada mereka,” kata Azmin yang dipercayai merujuk kepada bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad, yang bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihan raya kecil Port Dickson, selepas Umno mengambil keputusan untuk tidak bertanding.
Isa adalah antara tujuh calon bebas yang hilang deposit mereka ketika Anwar memenangi pilihan raya kecil itu dengan majoriti undian 23,560 undi.

