Anwar tekad kukuh pembaharuan parlimen
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertekad mahu memperkukuhkan kedudukan parlimen dengan melakukan beberapa penambahbaikan.
Bercakap semasa sidang akhbar di Parlimen, Anwar berkata langkah itu adalah seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14, Pakatan Harapan (HARAPAN).
"Tugas saya seperti mana didukung speaker, bersama-sama dengan ahli parlimen kanan seperti Lim Kit Siang adalah menjana beberapa perubahan selari dengan gesaan yang dibuat dan diperaku dalam manifesto HARAPAN.
"Tugas kita juga untuk memantapkan perjalanan parlimen dan menyokong kerajaan sekarang di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.
Menurutnya, usaha berkenaan termasuk menubuhkan beberapa jawatankuasa pemilih selaras dengan manifesto HARAPAN itu.
Anwar juga bertegas bahawa beliau tidak akan menyertai kabinet Dr Mahathir.
“Saya sebagai penyokong kerja lebih relaks, saya nak cakap apa pun boleh. Kedudukan formal akan beri kekangan kepada saya,” katanya.
Anwar hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
Anwar memenangi pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson, Sabtu lepas dengan majoriti besar 23,560 undi mengalahkan enam calon lain.

