Keluarga Paderi Koh dakwa polis reka bukti
INKUIRI SUHAKAM | Seorang peguam yang mewakili keluarga Paderi Raymond Koh yang kini hilang, memberitahu inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini bahawa pihaknya percaya polis mereka bukti yang boleh mengaitkan kes itu dengan seorang individu yang ditembak mati di Baling, Kedah, Jun lalu.
Namun dakwaan peguam Jerald Gomez itu dinafikan pegawai polis daripada Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFFOC) yang melaksanakan operasi bertarikh 17 Jun itu.
Ketika sesi soal balas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Huzir Mohamed, Gomez bertanya sama ada beliau setuju bahawa empat bahan bukti yang dirampas daripada rumah suspek yang ditembak itu di Pengkalan Hulu, Perak telah diletakkan oleh polis.
Terdahulu, polis menunjukkan senarai carian mereka di rumah itu pada 17 Jun lalu kepada panel inkuiri. Senarai itu menunjukkan serbuan polis antaranya menemui gambar Koh bersama kenderaan dan rumahnya serta gambar nombor pendafaran keretanya.
Dalam testimoninya bagi menjawab soalan Gomez, Huzir berkata polis tidak boleh meletakkan bukti memandangkan isteri kepada suspek ada ketika serbuan dilakukan.
Beliau berkata salinan senarai itu juga diberikan kepada isteri itu.
"Selain itu, satu laporan polis yang telah dibuat tidak boleh ditukar kerana ia diproses dengan komputer," kata Huzir yang turut berkata laporan polis dibuat berurutan dan tarikh tidak boleh dibelakangkan (backdated).
'Bekas IGP keliru'
Huzir juga berkata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) mungkin keliru apabila bercakap tentang sebuah lagi pasukan polis yang telah ke rumah yang sama.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Gomez berhubung percanggahan antara kenyataan Khalid dan kenyataannya sendiri berhubung tarikh polis menemui gambar itu.
"Saya tidak tahu (pasukan yang dimaksudkan Khalid). Besar kemungkinan IGP (Khalid) merujuk kepada pasukan polis Selangor (yang menyiasat kes Koh), saya rasa.
"Namun tarikh untuk dua hari kemudian tidak betul. (Penyerahan bukti kepada penyiasat kes Koh) dibuat pada hari sama (dengan serbuan iaitu 17 Jun)," katanya lagi.
Gomez pula berkata bukan pasukan polis Selangor yang berbuat demikian kerana keterangan Pengarah JSJ Selangor Fadzil Ahmad sebelum ini mengatakan mereka tidak pernah ke rumah di Pengkalan Hulu itu.
"Saya rasa Khalid keliru. Saya rasa pasukan kedua (yang dimaksudkan Khalid) adalah pasukan yang menerima barang kes daripada polis yang membuat serbuan," kata Huzir.
Ketika pendengaran itu, panel turut dimaklumkan bahawa polis tiada suspek lain yang boleh dikaitkan dengan kehilangan Koh selain individu yang ditembak mati itu.
Huzir berkata penyiasat hanya mampu mengaitkan kes dengan individu itu melalui dokumen yang ditemui di rumahnya, dan polis juga percaya daripada latar belakangnya bahawa dia mampu mengarahkan penculikan Koh.
Inkuiri disambung semula pada 31 Oktober ini.
Panel siasatan Suhakam ditubuhkan untuk menentukan sama ada kehilangan Koh dan tiga lagi individu - Amri Che Mat, Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu - tertakluk di bawah takrifan Konvensyen Antarabangsa Bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED).

