PAS tidak kecewa dengan kekalahan pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson kelmarin, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebaliknya, anggota parlimen Marang juga berkata, beliau berbangga dengan prestasi PAS kerana undi terhadap mereka meningkat di kawasan parlimen itu, lapor Harakahdaily.

"Pilihan raya itu PAS mendapat undi yang meningkat 7,000 dari 6,000 dan kita bersendirian, satu parti saja berdepan dengan tujuh penjuru, berdepan dengan kerajaan pusat Pakatan Harapan, DAP, Parti Keadilan dan calon bebas dan banyak penjuru.

"Walaupun banyak penjuru, undi pun meningkat, itu sangat menggembirakan," beliau dipetik sebagai berkata kepada wartawan di lobi parlimen di ibu negara hari ini.

PRK Port Dickson menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kerusi Pakatan Harapan dengan majoriti yang lebih besar berbanding pilihan raya umum Mei lalu.

Anwar mendapat 31,016 undi manakala pencabar terdekatnya, Mohd Nazari Mokhtar daripada PAS meraih 7,456 undi.

Dalam pilihan raya umum lalu, PAS melalui Mahfuz Roslan hanya mendapat 6,594 undi.