Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sejurus selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi menjadi anggota parlimen buku tulisan beliau, Gelombang Kebangkitan Asia, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kembali dijual hari ini.

Buku tersebut sebelum ini 'tersimpan' selama kira-kira dua dekad, iaitu sejak negara dilanda gerakan reformasi ekoran pemecatan Anwar pada 1998.

Buku itu diterbitkan oleh DBP pada 1997.

Menurut penjual buku di lobi parlimen, naskhah tulisan Anwar setebal 187 halaman itu adalah antara produk yang paling laris jualannya hari ini.

Dia yang enggan didedahkan identitinya berkata naskhah Gelombang Kebangkitan Asia yang belum dijual itu dikeluarkan untuk dijual sempena kedatangan semula Anwar ke parlimen.

"Kami berpendapat Anwar sekarang dah jadi anggota parlimen dan menyertai kerajaan, maksudnya buku ini juga sudah 'halal' untuk dijual atau dibaca oleh rakyat Malaysia," katanya kepada media.

Anwar bukanlah nama asing untuk tempat seperti parlimen kerana beliau mula menjadi wakil rakyat seawal 1982 mewakili kerusi Permatang Pauh.

Dibakar kerana 'silap'

Namanya terus meningkat naik sehingga menjadi timbalan perdana menteri sebelum disingkirkan daripada kerajaan serta Umno pada 1998.

Sejak itu susuk beliau lebih dikenali sebagai tokoh pembangkang dan pernah disabitkan kesalahan di mahkamah. Seiring dengan perkembangan itu banyak hasil kerjanya mula diketepikan atau 'dipadamkan'.

Anwar kemudian mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad pada 16 Mei, iaitu seminggu selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya membentuk kerajaan pusat.

Beliau kemudian memenangi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Okt lalu dan melayakkannya menjadi anggota parlimen sekali lagi.

Kata peniaga terbabit buku yang dijual di lobi parlimen hari ini adalah naskhah cetakan pertama yang tersimpan di dalam stor mereka.

"Ini memang naskhah yang rare (langka) untuk dimiliki.

"Tadi kami bawa lebih kurang 50 naskhah dan sekarang tinggal tak sampai 20," katanya.

Bagaimanapun untuk rekod DBP bukanlah satu-satunya penerbit Gelombang Kebangkitan Asia.

Selain agensi kerajaan itu beberapa syarikat lain turut menerbitkan buku tersebut dengan reka letak yang tersendiri.

Pada 1999 DBP dilaporkan membakar kira-kira 3,000 daripada kita-kira 14,000 naskhah buku tersebut yang tersimpan dalam stor mereka atas alasan terdapat "kesilapan" dalam cetakannya.

Hal itu ada diakui kerajaan BN pada 2009 dan tercatat dalam hansard parlimen.

Gelombang Kebangkitan Asia diterbitkan kali pertama dalam bahasa Inggeris oleh Times Edition Pte Ltd pada 1996 dengan tajuk The Asian Renaissance.

DBP kemudian mendapa hak menerbitkannya dalam bahasa Melayu setahun selepas itu.

Ketika kempen PRK Port Dickson baru-baru ini, Anwar turut meluahkan rasa terharu apabila ada pihak menganjurkan majlis prapeluncuran buku itu yang diterbitkan dalam bahasa Tamil.

Gelombang Kebangkitan Asia mengandungi buah fikiran dan falsafah ekonomi Anwar melalui siri tulisan dan ucapannya sebagai menteri kewangan dan timbalan perdana menteri antara 1991 dan 1996.

Lihat Komen
ADS