Lebih 20,000 mangsa banjir dipindah, bandar Kangar lumpuh
Bandar Kangar "lumpuh" setelah terputusnya bekalan elektrik dan air bersih akibat banjir manakala bilangan penduduk yang dipindahkan di empat negeri -- Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu -- berganda menjadi 20,695 orang semalam, berbanding 10,400 orang sehari sebelumnya.
Bandar Kangar "lumpuh" setelah terputusnya bekalan elektrik dan air bersih akibat banjir manakala bilangan penduduk yang dipindahkan di empat negeri -- Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu -- berganda menjadi 20,695 orang semalam, berbanding 10,400 orang sehari sebelumnya.
Dua kematian dilaporkan semalam, iaitu seorang kanak-kanak enam tahun yang lemas di sebuah sungai di Tanah Merah, Kelantan, manakala seorang lagi, lelaki uzur berusia 69 tahun ditemui mati bersendirian di rumahnya di Tambun Tulang, Perlis, setelah enggan berpindah semalam.
Banjir di Kedah dan Perlis yang disifatkan sebagai yang paling buruk dan luar biasa dalam tempoh 30 tahun sehingga kini sudah memusnahkan 13,000 hektar sawah di Perlis dan 12,000 hektar di Kedah yang terletak di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).
Bernama melaporkan, turut musnah ialah 3,000 hektar sawah di luar Mada di Kedah, dan kerugian sawah di kedua-dua negeri itu dianggarkan mencecah RM39 juta.
Di Dungun, Terengganu, seorang nelayan dilaporkan hilang setelah botnya dipukul ommbak besar berhampiran muara pantai. Empat lagi rakannya berjaya diselamatkan.
Keseluruhan ibu negeri Perlis digenangi air sedalam kira-kira satu meter sejak semalam membuatkan kira-kira 20,000 penduduknya menghadapi kesukaran untuk menjalankan kehidupan harian.
Gangguan elektrik
Gangguan elektrik disebabkan kerosakan pada pencawang masuk utama di Kangar mengakibatkan bandar Kangar bergelap sepenuhnya malam tadi, dan hari ini Tenaga Nasional Berhad (TNB) hanya mampu memulihkan sebahagian kecil bekalan tersebut kerana bimbangkan keselamatan penduduk.
Bekalan air pula terjejas berikutan beberapa loji memproses dan merawat air di Sungai Batu Pahat dan Arau ditenggelami banjir.
Penduduk mula menyuarakan kebimbangan terhadap kebersihan makanan kerana tiada bekalan air yang bersih, tetapi Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim memberi jaminan bekalan air bersih akan dipulihkan selepas banjir pulih.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bergegas menaiki pesawat ke Alor Setar, Kedah sebelum menaiki helikopter melawat kawasan yang teruk dilanda banjir di negeri-negeri tersebut semalam.
Beliau turut meninjau keadaan sekitar bandar Kangar dengan menaiki sebuah trak tentera.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata kerajaanakan memberi saguhati kepada penduduk yang terjejas termasuk petani yang sawah mereka musnah.
Semasa di Jitra, Najib berkata kerajaan akan menyalurkan bantuan kewangan kepada mangsa banjir di Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan untuk meringankan beban mereka setelah penilaian kerugian secara keseluruhan selesai dilakukan dalam sedikit masa lagi.
Dirikan kemah
Di Perlis, selain 4,236 orang dipindahkan ke pusat pemindahan, beberapa penduduk enggan berpindah ke pusat pemindahan sebaliknya mendirikan khemah di kawasan tinggi yang terletak tidak jauh dari kampung halaman mereka.
Bilangan penduduk yang dipindahkan di Kedah pula meningkat kepada 11,720 orang manakala di Kelantan dan Terengganu masing-masing mencatat 2,691 dan 2,048 orang.
Keadaan banjir di Kedah yang melibatkan daerah Kubang Pasu, Padang Terap dan Kota Star semakin parah dengan mangsa banjir yang dipindahkan semakin meningkat semalam berbanding hari sebelumnya.
Setakat ini, 12,077 mangsa banjir berkampung di pusat-pusat pemindahan bagi ketiga-tiga daerah terbabit.
DI Kubang Pasu, jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat walaupun hujan tidak melanda kawasan itu sejak dua hari lalu.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir daerah itu berkata, jumlah mangsa yang dipindahkan ke 31 pusat pemindahan sehingga pagi tadi ialah 8,420 orang berbanding 7,297 semalam.
Bagaimanapun, dua pusat pemindahan di daerah itu iaitu di Sekolah Menengah Hosba dan surau Kampung Bemban ditutup pagi ini selepas mangsa pulang ke rumah masing-masing berikutan air surut.
Di Padang Terap, seramai 1,694 mangsa masih ditempatkan di 18 pusat pemindahan manakala 1,130 mangsa dari lima pusat pemindahan pulang ke rumah masing-masing pagi ini.
Di Kota Star, bilangan mangsa dari 21 buah kampung yang ditempatkan di 12 pusat pemindahan ialah 1,760 orang.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir daerah itu berkata Kampung Empa dan sekitar kampung-kampung di daerah kecil Pokok Sena adalah antara kawasan yang serius dilanda banjir.
Katanya, paras air di Pantai Johor mencecah 4.36 meter, melebihi paras bahaya 3.05 meter.
Di Perlis, paras air di Kangar mulai surut dengan mencatat 0.8 meter berbanding satu meter semalam. Bagaimanapun bandar itu masih lumpuh dengan jalan masuk masih ditutup kepada kenderaan ringan.
Sementara bekalan air masih terputus sejak lima hari lalu kerana loji air ditelenggami air. Bagaimanapun bekalan elektrik mulai pulih dengan hanya kawasan Medan Raja Syed Alwi masih terputus hari ini.
Pejabat dan agensi kerajaan beroperasi seperti biasa dengan tenaga kerja yang kecil, termasuk pejabat Menteri Besar yang merupakan urusetia bencana alam negeri. Para pekerja terpaksa meredah air setinggi lutut untuk ke tempat kerja.
Menurut jurucakap Bilik Gerakan banjir, di utara Perlis, keadaan banjir mulai pulih dengan pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Titi Tinggi Hilir ditutup malam tadi.
Di selatan Perlis pula, terutama di kawasan Tambun Tulang, paras air bertahan dengan kira-kira 1,000 mangsa masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan -- Sekolah Kebangsaan Tambung Tulang, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad dan Dewan Orang Ramai Kampung Surau.
Di Kelantan, keadaan banjir di Kelantan tidak banyak berubah dan lebih 2,000 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan atau menumpang di rumah saudara mara mereka.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata sebahagian besar daripada 2,879 mangsa banjir itu adalah dari beberapa buah kampung di Pasir Mas berikutan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada di atas paras bahaya.
"Keadaan di tempat lain sudah semakin baik seperti di Machang dan Jeli, kesemuanya sudah pulang ke rumah," katanya kepada Bernama hari ini.
Katanya paras air Sungai Golok hanya surut sedikit berbanding malam tadi pada bacaan 10.21 meter pagi ini, masih di atas paras bahaya 9 meter, kerana hujan lebat di selatan Thailand.
Keadaan cuaca cerah sejak semalam di Kelantan menyebabkan paras air di semua sungai utama yang lain semakin surut.
Jurucakap itu juga berkata ketika ini hanya jalan alternatif dari Rantau Panjang ke Jeli di Kampung Lalang Pepuyu masih ditutup kepada semua kenderaan.
Di Terengganu pula, keadaan banjir hampir pulih sepenuhnya dengan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan tinggal 44 orang berbanding 333 orang lewat malam tadi.
Pegawai Turus Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu DSP Setapa Yusoff berkata pusat pemindahan yang masih beroperasi di Besut ialah di Surau Tok Bugis dan di Surau Beris Lampu manakala di Kemaman, di Sekolah Kebangsaan Ibok.
Setapa berkata, jalan utama yang masih ditutup kepada semua kenderaan ialah di Km31 dan Km33 Jalan Kuala Terengganu ke Kota Baharu di Kampung Belara yang ditenggelami air sedalam satu meter dan jalan di sempadan Setiu dan Hulu Terengganu di Kampung Tayor disebabkan tanah mendap yang berlaku pada jam 2.20 petang semalam.
Orang ramai yang ingin ke Kota Baharu, disyorkan melalui jalan pantai iaitu laluan Gong Badak-Merang-Bukit Putera-Setiu. Jalan pantai Penarik ke Permaisuri juga dibuka kepada semua kenderaan mulai pagi ini.
Setapa berkata, paras air di semua sungai utama negeri itu turun di bawah paras bahaya.
Di Perak, 404 orang mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan.
Jurucakap Bilik Gerakan Polis Negeri berkata antara kawasan yang dinaiki air ialah daerah Manjung membabitkan enam buah kampung dan sebuah kampung di daerah Perak Tengah.
Penduduk terlibat ialah di Kampung Tebuk Yan, Batu 3, Segari, Sungai Batu, Pantai Remis, Kampung Ujung Pasir, Pantai Remis, Kampung Padang Serai dan Kampung Indah sementara di Perak Tengah, Kampung Parit 6 Layang-Layang Kiri.
Air naik di kawasan kampung terbabit sedalam satu setengah meter dan dijangka air bertambah surut berikutan cuaca agak cerah pagi ini, katanya ketika dihubungi.
Kesemua kampung itu terletak berhampiran Sungai Perak dan hujan lebat sejak tiga hari lalu memburukkan keadaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.