Mahkamah Tinggi batal penukaran agama sepihak 2 kanak-kanak
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan penukaran agama yang dibuat secara pihak terhadap dua kanak-kanak oleh ibunya dua tahun lalu.
Ketika membacakan keputusan, Hakim Datuk Azizah Nawawi berkata mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam perkara serupa.
"Maka mahkamah memberikan arahan certiorari bagi membatalkan keputusan untuk mendaftarkan kanak-kanak itu," katanya.
Azizah juga memutuskan bahawa tiada pertikaian sama ada dua kanak-kanak itu ditukar agama secara sepihak oleh ibunya.
Azizah juga tidak membenarkan penangguhan terhadap keputusan itu yang dipohon peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan yang berhujah arahan itu akan memberi kesan kepada pihaknya.
Menurut laporan Bernama, Mahkamah Rayuan pada bulan lalu memberikan hak penjagaan dua kanak-kanak itu kepada bapanya yang beragama Buddha.
Ibu kedua-dua kanak-kanak itu menukarkan agama mereka ketika berusia lapan dan tiga tahun kepada Islam pada 11 Mei 2016 tanpa pengetahuan dan keizinan bapa mereka.
Ibu kanak-kanak berkenaan memeluk Islam pada Disember 2015.
Walaupun Azizah tidak menyebut keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengikat keputusan itu, beliau dipercayai merujuk kepada kes M Indira Gandhi yang mana penukaran agama kanak-kanak daripada perkahwinan sivil perlu mendapat persetujuan ibu dan bapa.
[Berita lanjut menyusul]

