Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semua wakil rakyat DAP diwajib rujuk CEC jika ditawar gelaran 'datuk'

Semua wakil rakyat DAP dikehendaki merujuk sebarang tawaran gelaran kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu sebelum memutuskan untuk menerima atau tidak.

Ia selari dengan dasar parti itu yang menyatakan anggota hanya boleh menerima gelaran selepas menyempurnakan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Penolong Bendahari Kebangsaan DAP Datuk Ngeh Koo Ham memberitahu Malaysiakini bahawa garis panduan itu dipersetujui ketika mesyuarat CEC semalam.

"Semalam, parti secara rasmi membuat keputusan.

"Garis panduan ini (menyatakan) sekiranya dalam situasi tertentu, apabila seseorang (wakil rakyat DAP) ditawarkan gelaran, mereka perlu merujuk kepada CEC untuk membuat keputusan.

"[....] Garis panduan ini hanya dikenakan pada mereka yang menjadi wakil rakyat, anggota dewan undangan negeri dan exco," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Ngeh turut memberi contoh tawaran datuk yang pernah diberikan kepadanya sebelum ini.

"Ketika saya dapat gelaran datuk pada 2008, saya rujuk dengan CEC. Saya tidak terima atas kapasiti sendiri," katanya.

Bagaimanapun, kata Ngeh, pihak yang baru-baru ini menerima tawaran berkenaan dibenarkan terus memegang gelaran masing-masing kerana garis panduan itu belum dijadikan peraturan rasmi parti ketika itu.

"Mereka boleh teruskan dan terima anugerah (datuk) itu.

"Belum ada peraturan rasmi tentang perkara ini. Ia hanya bermula semalam," katanya.

Mesyuarat semalam diadakan susulan beberapa pemimpin DAP ditawarkan anugerah termasuk Pengerusi DAP Melaka Tan Kok Kiew, Timbalan Speaker DUN Melaka Wong Fort Pin, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong, Naib Pengerusi DAP Sabah Frankie Poon dan ADUN Sri Tanjung Jimmy Wong.

Ngeh, yang juga merupakan Speaker DUN Perak menegaskan garis panduan berkenaan bukan sebagai tidak menghormati pihak istana.

"Tiada niat untuk menyinggung pihak istana kerana ia merupakan salah satu institusi negara kita. Kami akan menghormatinya.

"[...] Kami berpendapat bahawa anugerah hanya diberikan selepas khidmat diberikan. Sekali lagi, kami menghargai pihak yang memberikan anugerah itu.

"(Tapi) biarlah kami berkhidmat dulu sebelum diberikan anugerah," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS