Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai imigresen: Kanak-kanak biasanya dilepaskan ketika serbuan

Pihak berkuasa hanya akan menahan kanak-kanak ketika serbuan terhadap pekerja asing tanpa dokumen jika sudah tiada pilihan lain, kata seorang pegawai Jabatan Imigresen hari ini.

Menurut Timbalan Pengarah (Operasi, Siasatan dan Dakwaan) Jabatan Imigresen Eadie Nor Faizal, pendatang asing tanpa dokumen yang mempunyai anak biasanya hanya diberi amaran keras sebelum dibebaskan.

"Ketika kami melakukan operasi, jika lihat ada kanak-kanak, keluarga...biasanya suami yang mencari nafkah dan isteri tak bekerja.

"Kami akan beri amaran dengan beritahu 'tolong ambil langkah yang sepatutnya'," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi rundingan kebangsaan berhubung dasar komprehensif berkaitan pekerja asing di Kuala Lumpur, hari ini.

"Biasanya kita tak akan tangkap mereka. Kita pun tahu pusat (tahanan) kita tak cukup. Kemudahan khas untuk kanak-kanak pun tak ada," katanya lagi.

Ketika serbuan, katanya lagi, beberapa perkara lain turut diambil kira dengan mengutamakan hak asasi manusia, terutama hak kanak-kanak.

Namun dalam kes di mana hanya bapa saja yang bekerja, beliau berkata tiada jaminan terhadap kebajikan ibu dan anak ketika dia ditahan.

"Jika kita tangkap bapa dan tinggalkan ibu dan anak, jika ada jiran yang boleh bantu, Alhamdulillah.

"Tetapi bagi mereka yang tidak mendapat bantuan jiran, siapa pula nak jaga anak itu? Ini masalahnya," katanya lagi.

'Tak boleh nafi hak asasi'

Mengulas lanjut, Eadie berkata undang-undang imigresen di Malaysia secara teknikalnya melarang pekerja asing daripada berkahwin atau melahirkan anak ketika berada di sini.

Namun, beliau mengakui bahawa perkahwinan dan zuriat adalah hak asasi yang tidak boleh dinafikan.

"Kita sedar tentang hak asasi, tak boleh kata 'anda datang bekerja di Malaysia tak boleh beranak'. Walaupun sebenarnya memang tak boleh."

Pada masa sama, Eadie turut memperingatkan pekerja asing agar jangan sesekali menggunakan anak mereka sebagai 'perisai' untuk mengelak daripada ditahan.

Bagi pekerja asing yang mendapat anak di Malaysia, beliau berkata mereka wajib mendaftar anak dengan pihak berkuasa negara asal dan mendapat pasport dan kemudian ke Jabatan Imigresen.

"Selepas itu kita akan periksa. Kalau kita dapati (ibu bapa) tak layak lagi untuk tinggal di Malaysia, mereka perlu berhenti kera dan bawa anak pulang," katanya sambil menambah sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk melindungi hak dan kebajikan anak.

"Masalahnya apabila mereka tak memenuhi hak asas (anak), tak ambil peduli...sampai satu tahap Imigresen datang tangkap mereka, ketika itu mereka sudah dikira membuat kesalahan," katanya.

Selain Eadie, turut berucap dalam sesi rundingan kebangsaan hari ini adalah Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Datuk Loke Yim Peng dan Pengarah Program International Organization for Migration (IOM) Joanne Chua.

Dalam pembentangannya, Loke berkata sebahagian daripada syor Suhakam kepada kerajaan adalah pewujudan pusat tahanan imigresen berbeza untuk kanak-kanak.

Kerajaan kembali mengadakan serbuan terhadap pekerja asing tanpa dokumen tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali September lalu berkata pihaknya telah menahan kira-kira 30,000 pendatang asing tanpa dokumen sejak 1 Januari lalu.

Lihat Komen
ADS