Malaysiakini
BERITA

PAS: Bantah Oktoberfest walau tertutup, bersyarat

Diterbitkan
Dikemaskini 17 Okt 2018, 2:59 pagi

PAS membantah penganjuran acara berkaitan arak seperti Oktoberfest walaupun dibuat dengan bersyarat dan di tempat yang tertutup

"Ini kerana penganjuran atas jenama pesta sekalipun diadakan secara tertutup dan tidak melibatkan orang Islam adalah satu perkara yang tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini sebagai rakyat yang majoriti dan juga agama Islam itu sendiri sebagai agama rasmi persekutuan.

"Tidak kira apa syarat yang ditetapkan demi membolehkannya, ia tetap tidak boleh diterima," kata Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mahfodz Mohamed dalam tulisan yang diterbitkan di Harakahdaily semalam.

Mahfodz bertegas isu hak bukan Islam meminum arak berbeza dengan isu penganjuran acara berkaitan arak.

"(Hak non Muslim minum arak) bukanlah menjadi lesen sehingga boleh diadakan sesuatu program, pesta atau apa jua namanya yang melibatkan penganjuran berkaitan arak.

"Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat tetap bertegas dengan pendirian bahawa Oktoberfest ini tidak boleh dianjurkan dan mesti dibantah sekeras-kerasnya.

"Jika non muslim ingin minum arak, silakan di kediaman mereka tanpa mempromosinya dan tanpa membuat penganjuran pesta berskala besar," katanya.

PAS sedia demo

Terdahulu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya menentang penganjuran Oktoberfest bagi menjaga sensitiviti orang Islam.

Sementara Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan pula memberitahu parti itu akan mengadakan demonstrasi sebagai langkah menyuarakan penentangan mereka terhadap acara Oktorberfest.

Langkah itu perlu diambil sekiranya PAS berpendapat Oktoberfest mengganggu ketenteraman orang Islam, jelasnya.

Sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad memberi lampu hijau terhadap penganjuran Oktoberfest jika penganjur membuat permohonan bagi mendapatkan permit dan mematuhi semua garis panduan ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Khalid berkata antara garis panduan yang perlu dipatuhi penganjur ialah orang Islam tidak dibenarkan terlibat dan ia dijalankan di tempat tertutup.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.