Paling Popular
Terkini

Semua air paip di seluruh Malaysia yang telah diproses oleh loji rawatan air adalah selamat untuk diminum terus , kata Menteri Air, Tanah, dan Sumber Asli Dr Xavier Jeyakumar.

“Memang air yang dikeluar dari paip boleh diminum di seluruh Malaysia, tak ada masalah. Kalau ada masalah, itu masalah tempatan, bukan loji.

“(Air) yang keluar dari loji-loji di seluruh negara, 100 peratus boleh minum,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) kemudian mencelah dan menyoal sama ada beliau minum terus dari paip.

Kuala Krau: Menteri minum terus minum air dari paip?

Menteri: Memang saya minum terus dari paip.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sedang menggubal Dasar Air Negara bagi menyediakan kerangka perancangan dan pelan tindakan air negara yang holistik.

Jayakumar berkata ia merentasi pelbagai sektor bagi menangani segala isu dan kelemahan mekanisme sedia ada serta melakar tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kemampanan air negara terjamin.

Beliau menarik perhatian bahawa isu keselamatan dan kemampanan air berkait rapat dengan hal ehwal tanah dan sumber asli setiap negeri.

"Di bawah kementerian ini, semua aspek pemuliharaan hutan, biodiversiti, perlindungan kawasan tadahan dan guna tanah yang berkait langsung dengan sumber air (akan dipastikan) dapat diurus secara bersepadu bagi menjamin kelangsungan sumber air bagi memenuhi keperluan bekalan air rakyat, pengguna, industri dan pembangunan negara," katanya.

Jayakumar menjawab soalan asal William Leong Jee Keen (HARAPAN -Selayang) mengenai langkah kementerian menjamin kemampanan air negara pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Lihat Komen
ADS