Ketika dunia menunggu ketibaan ulangtahun pertama bencana tsunami, berjuta-juta orang yang telah bermurah hati menghulur bantuan, mungkin tertanya-tanya bagaimanakah sumbangan mereka itu dibelanjakan.

Setengah daripada mereka mungkin terkejut apabila mendapati setelah 12 bulan berlalu, masih ramai daripada 1.8 juta mangsa yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi tersebut pada 26 Disember lalu, masih lagi tinggal di kediaman sementara.

Walaupun usaha membangunkan semula tempat yang dilanda bencana itu agak lembab, tetapi penyaluran bantuan berjalan lancar di mana keperluan asas dapat disediakan dengan segera, dan sekaligus membantu mencegah wabak penyakit yang mungkin membunuh ribuan lagi mangsa terbabit.

"Respon dunia terhadap bencara tsunami adalah di luar dugaan sama sekali," kata Penyaleras Bantuan Kecemasan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jan Egeland.

"Pihak kerajaan, sektor swasta dan individu di seluruh dunia begitu bermurah hati menghulur bantuan. Sumbangan untuk tsunami adalah yang terbanyak pernah diterima, berbanding dengan sumbangan untuk mangsa tragedi lain," katanya kepada Reuters .

Sebagai perbandingannya, kata Egeland, tragedi Taufan Mitch yang melanda kawasan tengah Amerika pada 1998 dan gerak gempa Bam di Iran pada 2003 hanya menerima separuh daripada bantuan yang dijanjikan.

Manakala para kerajaan, Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia berjanji pula untuk menyumbang AS$7 bilion. Sehingga ini, menurut kajian Reuters, lebih AS$6 bilion telahpun disumbangkan. Orang ramai pula menyumbang lebih AS$5 bilion.

Persaingan sesama sendiri

Manakala pertubuhan kebajikan perubatan Medecins Sans Frontieres yang tidak pernah melancarkan tabung tsunami, turut menerima sumbangan yang banyak dalam beberapa hari sahaja.

Berikutan itu, ia terpaksa berhenti menerima sumbangan, dan meminta kebenaran mereka yang membuat sumbangan, untuk menyalurkannya kepada mangsa tragedi yang lain. Lebih 99 peratus daripadanya bersetuju.

"Ada pihak yang beriya-iya mahu memberi sumbangan dan ada juga yang marah apabila kami menolaknya. Pejabat kami di Hong Kong terpaksa ditutup kerana diserbu orang ramai yang datang membawa sampul surat yang berisi wang," kata Ketua bahagian kecemasan MSF Holland, Marcel Langenbach.

Daripada AS$110 juta yang diterima oleh MSF, kira-kira AS$25 juta telah dibelanjakan untuk membantu mangsa tsunami. Bakinya disalurkan untuk membantu mangsa gerak gempa di Pakistan dan untuk bantuan kecemasan yang lain, termasuk di Niger and Darfur.

Walaupun sumbangan kewangan yang besar itu berjaya menangani masalah logistik selepas tragedi tsunami yang telah mengorbankan lebih 230,000 di berbelas-belas negara serta memusnahkan bandar, pelabuhan, jalan, tetapi wujud masalah penyelarasan dalam menyaluarkan bantuan tersebut.

Dengan wang sumbangan yang besar, agensi-agensi bantuan membuat penilaian masing-masing dan mengedar sendiri bantuan tersebut, dan tidak melakukannya melalui penyeliaan PBB.

Keadaan itu mengakibatkan sesetengah mangsa mendapat bantuan yang lebih daripada yang diperlukan, manakala yang lainya terabai. Di Aceh sahaja, terdapat hampir 500 pertubuhan beroperasi di situ.

"Badan-badan bukan kerajaan yang besar yang bekerjasama dengan kita di seluruh negara memahami pentingnya proses penyelarasan tersebut," kata Egeland lagi, sambil menambah, masalah penyelarasan timbul dengan badan-badan bukan kerajaan yang baru wujud.

Persaingan yang wujud antara agensi-agensi terbabit juga menjejaskan kerjasama tersebut, kata seorang perunding Persatuan Paling Merah Antarabangsa (IFRC) di Aceh.

"Badan-badan ini mempunyai wang yang banyak dan mereka bersaing sesama mereka untuk menghulur bantuan," tambahnya.

Terlebih bantuan

Sementara itu, Langenbach pula berkata, kelemahan di segi penyelarasan bukan sahaja membazirkan sumber kewangan tetapi juga dalam kebanyakan kes, membahayakan nyawa mangsa yang mahu dibantu.

Beliau mencerita bagaimana para doktor MSF datang untuk memberi suntikan vaksin cacar kepada kanak-kanak mangsa bencara, dan hanya kemudiannya mendapat tahu yang badan-badan lain sudahpun datang untuk memberi suntikan yang sama, tetapi tidak ada sebarang rekod mengenainya.

"Akhirnya, tiada seorang pun yang tahu siapakah yang sudah menerima suntikan itu, menyebabkan mereka terdedah kepada bahaya menerima dua tiga kali suntikan, manakala ada pula yang tidak disuntik langsung," katanya.

Dalam usaha membuktikan kepada para penyumbang mengenai kesungguhan mereka menjalan kerja-kerja bantuan, banyak agensi yang berlumba-lumba menyumbangkan bot ikan tanpa memikikan kesan masa panjangnya.

Menurut IFRC, sumbangan bot di Sri Lanka dan Aceh telah melebihi keperluannya, menyebabkan kemungkinan berlakunya tangkapan yang berlebihan.

Seorang pekerja agensi bantuan berkata, satu perkara yang harus dijadikan iktibar ialah perlunya membabitkan masyarkat setempat dalam rundingan yang diadakan.

Langkah itu, katanya, bukan sahaja akan memastikan mereka menerima bantuan yang diperlukan, tetapi di segi psikologinya, dapat membantu mangsa memulihkan semangat untuk menerus kehidupan dan membina masyarakat yang kuat.