Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'CEC perlu maklumkan juga pihak istana peraturan terima gelaran datuk'

Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP seharusnya memberitahu bukan saja pemimpin anggota DAP berhubung peraturan menerima gelaran, tapi juga memaklumkan peraturan itu kepada pihak istana, kata Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew.

Dalam sidang media di Melaka hari ini, Tey berkata ia bagi mengelakkan perkara sama seperti ketika dia menerima anugerah gelaran 'datuk' yang diberikan kerajaan negeri berulang kepada pemimpin DAP lain.

"Merujuk kepada keputusan CEC bahawa semua wakil rakyat tidak kira anggota parlimen, ADUN, ahli majlis atau exco, dilarang menerima gelaran datuk (sebelum merujuk kepada CEC), saya akan mengikuti keputusan parti. Tidak kira apa keputusan parti, saya akan menurut dan mematuhinya.

"Bagaimanapun, saya meminta CEC bukan saja memberitahu pemimpin dan ahli DAP mengenai keputusan tersebut, tetapi juga harus memaklumkan kepada Tuan Yang di-Pertua negeri dan sultan negeri masing-masing, supaya perkara yang berlaku ke atas saya, tidak lagi berulang kepada orang lain, agar perkara ini dapat diselesaikan sepenuhnya," katanya pada sidang media yang dimuat naik Oriental Daily.

ADUN Bandar Hilir itu juga berkata dia ada memaklumkan pemimpin nasional DAP berhubung tawaran anugerah yang diberikan kepadanya.

"Pada 8 Okt saya pernah menghubungi (Setiausaha Organisasi DAP) Anthony Loke. Pada 9 Okt pula saya juga berbincang isu ini dengan (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng, beliau turut ada hubungi saya pada hari itu.

"Kemudian pada 11 Okt, saya juga telah hubungi pengerusi DAP Tan Kok Wai. Pada hari yang sama, saya turut cuba menghubungi Liew Chin Tong tetapi gagal, beliau adalah seorang pemimpin yang saya sanjungi, setiap kali jika saya menghadapi masalah, saya akan bertanyakan pendapat beliau," katanya.

Tey juga memohon maaf kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob berhubung perkara itu.

"Saya ingin memohon ampun kepada Tuan Yang di-Pertua Melaka atas segala perkara yang berlaku. Saya juga ingin menegaskan bahawa kesetiaan saya terhadap Tuan Yang di-Pertua tetap kukuh dan tiada berbelah bagi," katanya.

Selain Tey, wakil rakyat DAP yang turut menerima anugerah gelaran 'datuk' adalah Timbalan SPeaker Melaka Wong Fort Pin, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong, Timbalan Pengerusi DAP Sabah Frankie Poon, dan ADUN Sri Tanjung Jimmy Wong.

Semalam, Penolong Bendahari DAP, Ngeh Koo Ham berkata semua wakil rakyat DAP dikehendaki merujuk tawaran anugerah seumpamanya kepada CEC sebelum membuat keputusan menerima atau menolak tawaran itu.

Lim semalam mengingatkan pemimpin DAP agar tidak "mengejar gelaran" seperti pemimpin BN.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS