Hanya hospital yang diwarta akan dibenar melakukan pemindahan organ manusia manakala doktor yang menjalankan pemindahan itu, dikehendaki mendaftar sebagai pakar transplan di bawah pindaan baru kepada Akta Tisu Manusia 1974, kata Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek hari ini.

Katanya, pindaan itu bertujuan menambahbaik prosedur pemindahan di negara ini di samping mengemaskini akta itu sendiri bagi memasukkan takrif baru termasuk takrif tisu itu sendiri.

"Pindaan yang akan dibentangkan di Parlimen tahun depan itu, juga melarang penjualan, pengkomersialan transaksi dan pengiklanan organ manusia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Pejabat Rekod Transplan Kebangsaan yang pertama di Hospital Selayang di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kadar pemindahan di negara ini masih rendah di mana sehingga penghujung tahun lalu, hanya 2,653 pemindahan organ dijalankan di bawah pelbagai kategori tisu dan organ seperti kornea, sum-sum, ginjal, hati dan jantung.

Bernama melaporkan, kadar pemindahan ginjal misalnya adalah kira-kira 6 bagi setiap sejuta populasi setahun berbanding nisbah pesakit rawatan dialisis 101 bagi setiap sejuta populasi tahun lalu.

Chua berkata, selain Hospital Kuala Lumpur, unit-unit pengambilan pemindahan wilayah akan ditubuhkan di Pulau Pinang, Ipoh, Kuantan, Johor Baharu, Kuching dan Kota Kinabalu.

Mengenai laporan pejabat rekod transplan, Chua berkata, ia menandakan kemajuan penting dalam sejarah pemindahan organ dan tisu di negara ini.

Chua berkata, Malaysia adalah antara yang pertama di rantau ini menubuhkan pejabat rekod seumpama itu yang boleh digunakan bagi menjelas dan memantau trend pemindahan organ.

Pejabat Rekod Transplan Kebangsaan ditubuhan pada 2003 bertujuan membentuk sebuah audit kebangsaan bagi menganalisis dan memahami demografi dan hasil-hasil pemindahan pelbagai organ dan tisu di negara ini.