Most Read
Most Commented
Read more like this

Seramai 61 orang, termasuk dua pemimpin PAS, ditahan ekoran terlibat dalam majlis ceramah yang dianjurkan parti itu serentak di seluruh Johor dua hari lalu, menjadikan jumlah 83 orang ditahan sepanjang minggu lalu di negeri itu.

Tiga puluh penyokong pembangkang, termasuk 10 wanita, ditahan di Parit Sempadan, Batu Pahat. Mereka ditangkap kira-kira jam 11 malam semasa menghadiri ceramah di markaz PAS di kampung itu.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub memberitahu malaysiakini hari ini, semua penyokong itu dibawa ke balai polis Batu Pahat sebelum dibebaskan kira-kira jam 8 pagi semalam.

Turut ditahan, ahli jawatankuasa pusat Pemuda PAS Nasaruddin Hassan dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Johor Zulkifli Ahmad serta isterinya.

Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pada 26 September ini atas dakwaan berhimpun secara haram.

Ditahan di balai polis yang sama malam termasuklah empat penyokong pembangkang yang menghadiri ceramah di Sri Gading, Batu Pahat.

Menurut Salahuddin, empat penyokong itu yang turut dibebaskan pagi semalam bagaimanapun tidak dikenakan sebarang dakwaan di mahkamah.

Ditahan di dalam trak polis

PAS menganjurkan 21 ceramah serentak di negeri itu Sabtu lalu sebagai membantah larangan ceramah di seluruh negara yang dikuatkuasakan mulai Julai. Ibu pejabat polis Bukit Aman mengeluarkan arahan kepada balai-balai polis negeri dan daerah melarang semua ceramah politik dan perhimpunan di tempat terbuka.

Pada hari yang sama, 20 penyokong pembangkang ditangkap di Taman Universiti, Johor Bharu dan tujuh lagi di Taman Muhibbah, Senai.

Menurut Salahuddin, mereka ditahan selama beberapa jam di dalam trak polis di dua tempat itu sebelum dibebaskan kira-kira 1 pagi semalam.

Rabu lalu, polis Johor Bharu menahan 22 orang pada majlis ceramah yang diadakan di Taman Dahlia. Turut ditahan malam itu, Salahuddin dan Ketua Pemuda PAS Johor Mazlan Aliman.

Menurut laporan Harakahdaily.com , tujuh daripada mereka, termasuk dua pemimpin itu, ditahan di lokap balai polis Central dan dibebaskan dengan jaminan polis pada 7.55 pagi keesokannya.

Sementara 15 lagi petugas pembangkang disoal siasat di balai polis Tampoi dan dibebaskan jam 3.05 pagi.

Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 6 September ini.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS