Sah: Naib Canselor UPM letak jawatan
Prof Datuk Dr Mohd Zohadie Bardaie telah meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM).
Prof Datuk Dr Mohd Zohadie Bardaie telah meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM).
Ketika mengesahkan perkara itu hari ini, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Mohd Shafie Salleh berkata, beliau telah menerima surat peletakan jawatan Prof Datuk Dr Mohd Zohadie.
Menurutnya, naib canselor itu yang akan tamat tempoh perkhidmatan pada 5 Januari depan, meletakkan jawatan sebelum tarikh tersebut.
"Dia (Mohd Zohadie) memohon dan kita telah terima peletakan jawatannya.Mungkin beliau ingin balik berkhidmat di fakulti sebagai tenaga pengajar atau mencari kerja yang lebih baik di tempat lain," katanya kepada pemberita di Tapah.
Bernama melaporkan, sebelum itu, Dr Shafie bersama Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali meninjau dua tapak yang akan dibangunkan sebagai universiti, dekat sini dengan menaiki helikopter.
Hari ini, sebuah akhbar melaporkan Mohd Zohadie telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Dr Zulkefli A. Hassan beberapa hari lalu dan bercuti mulai Isnin lalu.
Mohd Zohadie yang dilantik sebagai Naib Canselor UPM pada 18 April 2001 pernah menimbulkan kontroversi apabila dikatakan menyindir Menteri Pengajian Tinggi melalui serangkap pantun yang dibacanya dalam satu majlis.
Sebelum ini, beliau dikatakan membantah cadangan untuk memindahkan program aeroangkasa dari UPM ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Berikutan itu, mesyuarat Lembaga Pengarah UPM telah membuat keputusannya mendesak Dr. Muhamad Zohadie meletakkan jawatan.
Sebuah akhbar tempatan melaporkan, pengerusi lembaga tersebut, Tan Sri Dr Zainul Ariff Hussain dikatakan mengadakan mesyuarat itu kerana mendakwa tindakan naib canselor itu telah mengeruhkan hubungan dengan Kementerian Pengajian Tinggi.
Sebelum itu, sebuah laporan media telah memetik sumber sebagai berkata, lembaga pengarah itu juga tidak gembira dengan sajak yang dibaca Dr Muhamad Zohadie dalam satu majlis di UPM yang dikatakan memperlekehkan menteri tersebut.

