Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba yang kini menjalani rawatan di Pusat Perubatan Pantai (PMC) akan dibenarkan pulang untuk berehat di kediamannya dalam masa seminggu lagi.

Anak Ghafar, Sally, memberitahu Bernama keadaan kesihatan bapanya semakin baik dan beliau mula berkomunikasi.

"Dalam masa seminggu lagi beliau akan dibawa pulang ke rumah untuk berehat. Beliau kini agak sihat. Buat masa ini beliau sedang menjalani terapi komunikasi jadi sedikit sebanyak beliau boleh bercakap," katanya.

Sally berkata, doktor juga telah membenarkan pelawat terutamanya anggota keluarga dan rakan Ghafar untuk menziarahi beliau.

Ghafar, 80, dirawat di PMC sejak Oktober lalu kerana komplikasi jantung dan paru-paru.

Beliau sebelum itu menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dipindahkan ke Unit Koronari PMC pada 12 Oktober lalu.