Status agama pendaki Everest dirujuk ke mahkamah hari ini
Kekecohan mengenai status agama pendaki Gunung Everest, Koperal M. Moorthy, 36, yang meninggal dunia pagi semalam akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Kekecohan mengenai status agama pendaki Gunung Everest, Koperal M. Moorthy, 36, yang meninggal dunia pagi semalam akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Kekecohan itu berlakau apabila mayatnya menjadi rebutan antara keluarga dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), yang mendakwa Moorthy telah memeluk agama Islam sejak 8 Mac lalu dengan menggunakan nama Mohammad Bin Abdullah.
Pada masa sama, keluarganya tetap mengatakan Moorthy masih beragama asal iaitu Hindu. Moorthy meninggal dunia akibat penyakit cervical sick selepas terjatuh ketika latihan somersault di Kem Sungai Udang, Melaka pada 14 Ogos 1998.
Beliau kemudian lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Moorthy kemudian terjatuh dari kerusi roda sebulan yang lalu, menyebabkan dia koma. Moorty meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Utusan Malaysia melaporkan, sebelum itu, suasana menjadi kecoh apabila lebih banyak pihak cuba menuntut mayat Moorthy untuk dikebumikan. Ini termasuk tujuh pegawai Jawi yang mahu supaya mayat Moorthy dikebumikan mengikut hukum dan peraturan Islam.
Kekecohan itu turut menyebabkan pihak keluarga Moorthy, terutama ibunya, Saraswathy Rajoo, 62, tidak dapat menerima kenyataan tersebut.
Sementara itu, peguam keluarga Moorthy, A. Sivanesan dari Firma Tetuan Sivanesan & Co. berkata, pihaknya mendapat maklumat dan dokumen rasmi mengenai pengislaman Moorthy dari Jawi, menunjukkan anggota tentera itu memeluk Islam pada 8 Mac tahun ini dengan kerelaan sendiri.
'Dirahsiakan'
Menurutnya, perkara tersebut telah dirahsiakan daripada pihak keluarga termasuklah isterinya, Kaliamal Sinasamy, 30, sehingga 1 Disember lalu.
"Apabila Moorthy dimasukkan ke HKL pada 11 November lalu, Jawi telah memaklumkan kepada Kaliamal mengenai pengislaman suaminya itu. Menurut Jawi, jika berlaku kematian, jenazah suaminya akan diuruskan mengikut cara Islam,"' katanya.
Difahamkan, Kaliamal bagaimanapun tidak memberitahu pengislaman suaminya kepada sesiapa.
Ketika ditemui, Kaliamal mengesahkan ada menerima panggilan telefon dari Jawi tetapi enggan mengulas lanjut.
Sivanesan menambah, kes tersebut akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.
"Keputusan mungkin akan hanya diketahui dalam masa 48 jam," katanya.
Menurut laporan Utusan lagi, Sivanesan berkata, seorang jurucakap Jawi yang hanya dikenali sebagai Azniza, juga tidak membantah mengenai perkara tersebut dibawa ke mahkamah.
Minta bantuan
Sementara menunggu kes tersebut selesai, katanya, Ketua Jabatan Forensik HKL, Dr. Mohd. Shah Mahmood bersetuju mayat Moorthy disimpan di bilik mayat hospital tersebut.
Dalam pada itu, menurut salah seorang saudara terdekat Moorthy yang enggan namanya disiarkan, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden Persatuan Hindu Sanggam, Datuk A. Vaithilingam untuk meminta bantuan beliau.
Difahamkan, Vaithilingam akan membawa perkara itu ke pengetahuan Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu yang kini berada di Bosnia atas urusan rasmi kerajaan.
Sementara itu, seorang jurucakap Jawi berkata, pihaknya akan menyerahkan kes tersebut untuk keputusan mahkamah dan jabatan itu akan mengemukakan dokumen yang ada sebagai bukti bahawa Moorthy telah memeluk agama Islam.
Dalam pada itu, pegawai atasan Moorthy, Kolonel Effendi Ab. Karim ketika ditemui di bilik mayat HKL berkata, pihaknya juga akan akur dengan keputusan mahkamah.
Menurutnya, kehadiran beliau di HKL bagi membantu urusan pengkebumian mayat Moorthy.

