Isu tol: Menteri minta maaf dengan kenyataan 'sombong'
PARLIMEN | Menteri Kerja Raya Baru Bian memohon maaf susulan kenyataannya di parlimen berkaitan isu pemansuhan tol di parlimen yang dianggap sombong.
"Saya sedar kenyataan saya... menjadi tajuk berita dan dianggap sombong.
"Ribuan maaf jika tanggapannya begitu. Tiada niat. Saya salah menggunakan perkataan 'terpulang'.
"Maksud saya 'rakyat berhak mengharap tol dihapuskan tetapi keadaan kewangan tidak mengizinkan'," katanya dalam suatu hantaran di media sosial hari ini.
Semalam Menteri Kerja Raya Baru Bian dilaporkan berkata terpulang kepada rakyat untuk bermimpi melihat negara ini memiliki lebuh raya tanpa tol, namun janji untuk memansuhkan tol sedia ada memang sukar dilaksanakan.
Kurang beban
“Saya katakan sekali lagi, dasar kerajaan (HARAPAN) ini jelas, dan kita tak akan hapuskan tol sampai kewangan negara pulih ke sampai satu tahap sihat.
“Mengenai soalan dibangkitkan adakah rakyat ini bermimpi untuk melihat lebuh raya tanpa tol, itu terpulang...,” kata ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) pada sidang Dewan Rakyat di bangunan parlimen di ibu negara hari ini.
Sementara itu, Muslimin Yahaya (HARAPAN-Sungai Besar) bertanyakan mengenai langkah yang diambil kerajaan bagi menunaikan janji memansuhkan tol.
Rendah kadar tol
Baru dalam jawapannya berkata, kerajaan sedang mengkaji langkah untuk mengurangkan beban rakyat dalam isu tol lebuh raya.
“Dimaklumkan, kerajaan sekarang ini tidak akan hapuskan tol. Tetapi kita masih dalam perbincangan, di mana kita mencari alternatif.
"Ia seperti merendahkan kadar tol. Mungkin ada flat rate. Mungkin beri 20 peratus diskaun sewaktu bukan waktu puncak misalnya. Dan mungkin tak akan naikkan dalam masa dua tiga tahun,” maklum beliau.
Pada 14 Oktober lalu, Baru Bian berkata HARAPAN tidak berhasrat untuk mengenakan kutipan tol bagi Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa Lebuhraya Pan Borneo tidak akan dikenakan tol. Ini janji kami (kerajaan Persekutuan),” katanya dalam sidang media berhubung kemajuan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Kota Kinabalu.
Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam suatu wawancara pada 12 Oktober lalu berkata pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.
Dr Mahathir juga mendedahkan beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.

