Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menangguhkan pelaksanaan elaun sara hidup (COLA) dan imbuhan tetap perkhidmatan awam (ITKA) yang berkuatkuasa pada 1 Januari depan sehingga kertas cadangan balas kesatuan sekerja itu diteliti.

Presiden Cuepacs Datuk Nordin Abdul Hamid berkata, kesatuan sekerja itu akan menghantar kertas cadangan balas kepada Abdullah di Putrajaya pada hari Rabu untuk dipertimbangkan.

"Ada baiknya tangguhkan dulu. Mana tahu Perdana Menteri nanti bersetuju dengan kajian semula. Biar dibuat sekali," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Meraikan Pesara Kastam di Klang semalam.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah pemberian COLA bagi kakitangan awam Gred 1 hingga Gred 54 di kawasan bandar besar atau utama sebanyak RM150 manakala RM100 bagi yang berkhidmat di bandar lain dan pekan.

Selain itu, ia mencadangkan agar COLA dipanjangkan kepada kakitangan awam yang mendiami kuarters.

Terkilan

Dalam Bajet 2006, Perdana Menteri mengumumkan pemberian COLA antara RM50 dan RM150 sebulan bagi kakitangan awam.

Menurut Bernama , COLA pernah dibayar kepada kakitangan awam pada tahun 1970-an bagi menampung kos saraan hidup di kawasan bandar.

Nordin berkata Cuepacs turut mengemukakan cadangan agar kadar ITKA bagi kumpulan sokongan yang meliputi lebih 50 peratus daripada kira-kira sejuta kakitangan awam negara ini dikaji semula kepada RM250.

Beliau berkata, kadar ITKA kumpulan sokongan tidak berubah sejak 14 tahun lalu, iaitu pada kadar antara RM65 dan RM80.

Pada Bajet 2006, kadar ITKA kumpulan pengurusan dan profesional diselaraskan dari RM170 hingga RM300.

Katanya, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Kementerian Kewangan pada hari Isnin dan menyatakan rasa terkilannya kerana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak mengadakan perbincangan dengan kesatuan itu sebelum mengeluarkan pekeliling pelaksanaan tersebut.