Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Ku Li: Media perlu bebas dari kawalan politik, k'jaan

Pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menyuarakan sokongan rancangan menubuhkan sebuah majlis akhbar bebas di Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas suatu majlis pelancaran buku di Kuala Lumpur, anggota parlimen Gua Musang yakin organisasi media perlu bebas daripada pengaruh kerajaan atau parti politik.

"Perlu ada kebebasan media. Saya menyokong hal ini. Perlu ada majlis akhbar.

"Laporan sepatutnya bebas daripada campurtangan kerajaan dan parti politik," kata Tengku Razaleigh.

Menurutnya, majlis akhbar akan menjadi penimbang tara yang menjamin hak rakyat terhadap media bebas.

Ahli Umno lebih 50 tahun itu sebelum ini ditanya jika parti itu patut bertindak "menyelamatkan" akhbar harian berbahasa Melayu, Utusan Malaysia daripada kemelut kewangannya sekarang.

Kasihan pekerja Utusan

"Saya fikir terserah kepada pemegang saham untuk menyelamatkan syarikat itu.

"Jika tidak susahlah Utusan, kasihan orang yang bekerja untuk surat khabar itu," kata Tengku Razaleigh yang berusia 80 tahun.

Dalam laporan tahunan Utusan pada 2017, ia menyatakan Umno memiliki 49.77 peratus kepentingan dalam akhbar tersebut.

Pemegang saham kedua terbesar ialah syarikat Nilam Setar (M) Sdn Bhd yang dipunyai ahli perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dengan 14.76 peratus pegangan.

Lebih daripada sekadar isu pemilikan, Tengku Razaleigh yang dikenali dengan gelaran Ku Li berkata sidang redaksi pengarang perlu diberikan kebebasan untuk menerbitkan berita yang penting kepada orang ramai.

"Itu bukan soal parti melepaskan share. Itu editorial. Kalau kita beri kebebasan editorial, tak mesti kena ikut kehendak parti.

"Dia boleh bebas menulis berita yang difikir boleh dilanggani orang ramai. Tapi sekarang stereotaip salah. Too much on the party," katanya lagi.

Dalam hal berasingan, Tengku Razaleigh mengulas soalan mengenai kedudukan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di dalam parti selepas dikenakan 45 pertuduhan pengubahan wang haram, jenayah pecah amanah dan menerima suapan.

"Saya tidak kata Zahid perlu bercuti.

"Perlembagaan parti tidak menyentuh hal ini," katanya ketika ditanya jika MP Bagan Datuk perlu mengambil cuti sehinggalah kes tersebut diputuskan mahkamah.

Bagaimanapun, beliau menyebut dalam sejarah terdapat pemimpin parti yang didakwa di mahkamah melepaskan jawatan mereka, memberi contoh dua bekas menteri besar Selangor, Datuk Harun Idris dan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang pernah dituduh terlibat skandal rasuah ketika berkuasa.

"Mereka telah melepaskan jawatannya," jelasnya.

Ditanya pendapatnya pemimpin yang patut mengepalai Umno sepanjang ketiadaan Zahid, Tengku Razaleigh berkata terserah kepada parti untuk memutuskannya.

"Tapi secara amalannya timbalan patut mengambil alih," maklum beliau yang mengatakan Umno juga boleh melakukan pemilihan semula jawatan presiden.

Terdahulu, Tengku Razaleigh melancarkan edisi terbaru buku berjudul "The End of Umno?" - sebuah rampaian esei mengenai parti itu yang ditulis pengkaji politik Malaysia, Bridget Welsh yang juga Profesor Madya Sains Politik di John Cabot University, Rome.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS