Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Reformasikan undang-undang yang tak perlu lulus dua pertiga'
Diterbitkan:  Oct 20, 2018 9:06 PM
Dikemaskini: 1:09 PM

Putrajaya perlu mengutamakan untuk mereformasikan undang-undang yang boleh diluluskan di parlimen tanpa memerlukan persetujuan dua pertiga anggota dewan rakyat, kata Badan Peguam Malaysia.

Presiden Badan Peguam, George Varughese berkata kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga menyebabkan sukar bagi pentadbiran HARAPAN meluluskan beberapa reformasi seperti cadangan Menteri Undang-undang Datuk Liew Vui Keong untuk menaikkan usia persaraan hakim ke 70 tahun yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

"Atas sebab ini, Badan Peguam berpandangan kerajaan perlu mengutamakan langkah-langkah lain untuk mereformasi lembaga kehakiman dan institusi lain, serta pembaharuan perundangan lain, yang mana parti pemerintah akan mendapat kelulusan dengan komposisi anggota di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Badan Peguam menyedari banyak cabaran yang mesti diatasi oleh kerajaan dalam memenuhi janji pilihan raya dan memenuhi harapan besar rakyat.

"Kami juga sedar dengan pelbagai langkah yang telah diambil untuk memperkukuh institusi kami dan seterusnya menegakkan kedaulatan undang-undang sejak ia berkuasa, tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan," kata Varughese dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah bahawa Badan Peguam bersedia untuk membantu kerajaan dengan kemahiran dan kepakarannya supaya dapat mencapai pembaharuan.

BN menguasai Dewan Negara manakala Pakatan Harapan hanya mempunyai majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Dewan Negara telah meluluskan RUU Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tetapi menolak RUU memansuhkan akta antiberita palsu.

Lihat Komen
ADS