Paling Popular
Terkini

KATA MP | Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, hari ini (22 Okt 2018) di Dewan Rakyat telah memfitnah kerajaan Kelantan kononnya tidak dapat membayar gaji kakitangan.

Nampaknya menteri kewangan ini begitu berdendam dengan Kelantan yang telah ditadbir oleh PAS sejak sekian lama.

Padahal soalan tambahan yang diajukan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS - Kota Bharu) ialah soalan biasa yang tidak mempunyai unsur provokasi.

Apa yang diutarakan oleh Kota Bharu ialah berhubung pandangan kerajaan pusat jika kerajaan Kelantan dan Terengganu memulakan inisiatif sendiri untuk menyiapkan projek ECRL (Rangkaian Kereta Api Pantai Timur).

Menteri kewangan dengan sinis menjawab: "Bagaimana mahu siapkan ECRL jika bayar gaji kakitangan pun tidak mampu?"

Di dalam dewan, kami anggota Parlimen dari Kelantan menuntut agar menteri kewangan menarik balik kenyataannya kerana ia mengelirukan dewan namun tidak dibenarkan.

Kita minta dibuktikan dengan jelas bilakah Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangannya?

Jika disebut bahawa Kelantan menerima bantuan Kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji, perlulah dinyatakan bahawa tidak ada satu pun negeri di Malaysia yang tidak menerima peruntukan di bawah Perbendaharaan Negara.

Saya merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada 27 Oktober 2017 di bawah tajuk Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2018.

Dalam Lampiran E iaitu di bawah tajuk Pemberian Sebenar Kepada Kerajaan Negeri Tahun 2016, Kelantan dinyatakan telah menerima sejumlah RM397,989,333.

Jika dibandingkan dengan Selangor, negeri tersebut telah menerima sebanyak RM761,803,058 di bawah peruntukan Perbendaharaan Negara untuk tahun 2016.

Tidaklah dinafikan kelayakan Selangor menerima peruntukan yang lebih banyak kerana jumlah pemberian tersebut berasaskan kepada keperluan tersendiri termasuklah bilangan penduduk.

Namun ia mengesahkan bahawa tiada negeri yang tidak menerima wang daripada pusat.

Jika ditinjau kepada senarai berkenaan, dapat dilihat bahawa Johor menerima sebanyak RM802,219,813, Kedah RM373,288,565, Pahang RM391,115,129, Sabah RM1,086,260,027 dan Sarawak RM1,159,277,479.

Fakta-fakta ini menjelaskan bahawa menteri kewangan hari ini sekali lagi berbohong dan memfitnah Kelantan di dalam Dewan Rakyat.


AHMAD FADHLI SHAARI ialah anggota parlimen Pasir Mas.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS