Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PARLIMEN | Sidang Dewan Rakyat kecoh seketika pagi ini apabila kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng menimbulkan kemarahan anggota parlimen pembangkang.

Ia bermula ketika Lim menjawab soalan lisan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) yang bertanya pendirian kerajaan jika ada kerajaan negeri - seperti Kelantan dan Terengganu - yang mahu meneruskan projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan inisiatif sendiri.

Kata Lim kerajaan pusat sedia menunggu kenyataan rasmi dibuat Kota Bharu atau Kuala Terengganu untuk mengambil alih projek berkenaan jika mereka benar-benar berminat melaksanakannya.

"Pada masa sama, saya terfikir, bagaimana Kelantan boleh melaksanakannya apabila gaji (untuk kakitangan awam di negeri itu) pun tak mampu nak bayar," katanya.

Kenyataan itu mendorong Takiyuddin bingkas bangun dan meminta Lim menjelaskan kenyataan itu dengan lebih lanjut.

Katanya Lim tidak wajar membuat tuduhan rambang sebegitu.

"Boleh beritahu bila kerajaan Kelantan tak boleh bayar gaji? Jangan tuduh-tuduh, ini menyeleweng (mengelirukan) dewan," katanya.

Kata Takiyuddin pemberian daripada pusat untuk negeri-negeri bukan petanda bahawa sesebuah kerajaan tidak mampu membayar gaji kakitangan masing-masing.

"Itu bukan tak boleh bayar," katanya.


Baca MP PAS kata Guan Eng fitnah Kelantan


Keadaan itu juga menyebabkan beberapa anggota parlimen termasuk Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mendesak supaya Lim menarik balik kenyataan tersebut.

Malah kata Ahmad Jazlan tuduhan seumpama dibuat Lim tidak pernah dibuat oleh BN sebelum ini.

"Kita kerajaan lama pun tak pernah buat pertuduhan sebegitu," katanya.

Bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berjaya menenangkan keadaan dan menyarankan semua kedua-dua pihak menyelesaikan isu berkenaan di luar dewan.

Lihat Komen
ADS