Kabinet arah Nazri minta senator lulus rang undang-undang keluarga Islam WP
Anggota Dewan Negara diminta meluluskan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 26 September lalu.
Anggota Dewan Negara diminta meluluskan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 26 September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Kabinet telah mengarahkannya meminta supaya anggota Dewan Negara meluluskan rang undang-undang itu yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Negara esok.
"Jika ada senator-senator yang tidak berpuas hati dengan rang undang-undang ini, mereka boleh membahaskannya pada sesi perbahasan esok, mana boleh tolak perkara yang masih belum dibentangkan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Mohamed Nazri berkata demikian sebagai mengulas tindakan Gabungan Kumpulan Bertindak Wanita (JAG) yang sebelum ini menyerahkan memorandum kepada sekumpulan senator, termasuk 16 senator wanita, memohon mereka tidak meluluskan rang undang-undang itu bagi membolehkannya dikaji semula.
Beliau berkata, beberapa senator wanita yang kurang bersetuju dengan rang undang-undang itu telah diberikan penjelasan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdullah Mohd Zin yang bertanggungjawab mengenai Undang-Undang Keluarga Islam kelmarin.
' Wanita didiskriminasi'
Menurut Bernama , hadir di sidang media itu ialah Pengarah Eksekutif Sisters In Islam (SIS) Zainah Anwar dan beberapa pegawai JAG.
Mohamed Nazri berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi amat prihatin berhubung masalah berkaitan wanita dan Kabinet bersedia mengkaji permintaan yang dikemukakan oleh SIS.
Semalam, JAG dalam satu sidang media, menggesa anggota Dewan Negara mengkaji semula Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005, yang dikatakan mendiskriminasi wanita.
Menurut Zainah, permintaan tersebut merupakan peluang terakhir JAG untuk mendapatkan keadilan setelah segala usaha mengubah undang-undang tersebut gagal mendapat perhatian di Dewan Rakyat walaupun ia mendapat perhatian daripada beberapa anggota Dewan Rakyat.
Lima perkara dalam rang undang-undang itu yang menimbulkan kemarahan JAG ialah hak suami untuk menuntut harta sedia ada isteri sebaik sahaja suami berpoligami; memudahkan lagi suami berpoligami, memaksa isteri memilih sama ada nafkah atau pembahagian harta sepencarian sebaik sahaja suami berpoligami, hak kepada suami untuk bercerai dan membenarkan suami mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang isteri melupuskan hartanya.

