Lembaga Kelayakan Malaysia ganti LAN
Kabinet hari ini meluluskan penubuhan Lembaga Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai institusi akreditasi untuk semua kursus dan program di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, menggantikan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan Bahagian Jaminan Kualiti.
Kabinet hari ini meluluskan penubuhan Lembaga Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai institusi akreditasi untuk semua kursus dan program di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, menggantikan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan Bahagian Jaminan Kualiti.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh berkata dengan adanya MQA itu Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) akan dapat dilaksana sekaligus menangani beberapa masalah yang dihadapi sekarang seperti perbezaan kredit bagi kursus yang sama di universiti berlainan.
"Kita akan menyamakan kredit di universiti yang mana jika satu kursus tiga kredit di satu universiti, ia juga tiga kredit di universiti yang lain. Oleh itu kalau sama nilainya, sama tanda arasnya, sama kriterianya barulah boleh mereka pindah kredit daris atu universiti ke satu universiti, katanya pada persidangan akhbar di sini hari ini.
Ia juga dijangka menyelesaikan masalah pengiktirafan kursus yang ditawarkan IPT tempatan kepada pelajar asing oleh negara pelajar berkenaan.
Bagaimanapun, menurutnya penubuhan MQA akan mengambil masa kerana memerlukan penggubalan akta baru.
"Akta sedia ada kita akan tengok balik dan kita buat akta baru supaya akta berkaitan seperti akta LAN tidak payah digunakan," kata Shafei.
Pinjaman pensyarah
Menurut Bernama, cadangan penubuhan satu institusi untuk melakukan akreditasi kursus yang ditawarkan IPT sama ada awam atau swasta diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa membentangkan Bajet 2006 pada September lalu.
Buat masa ini akreditasi untuk IPT awam dilakukan Bahagian Jaminan Kualiti manakala untuk IPT swasta oleh LAN.
Sementara itu, katanya penubuhan Pusat Universiti Malaysia-Jepun (MJUC) bagi menjalankan perancangan strategi ke arah penubuhan Universiti Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIUT) ditempatkan di kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Untuk itu katanya, dua pensyarah dari dua buah universiti akan dipinjamkan bagi menjalankan kerja-kerja perancangan iaitu Prof. Dr Marzuki Khalid dari UTM yang dilantik sebagai pengarah MJUC dan Prof. Madya Dr Azizan Asmuni dari Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai timbalan pengarah.
Jepun pula katanya akan menghantar empat orang pensyarahnya pada Mac depan bagi bekerjasama dalam menghasilkan perancangan itu.
MJIUT yang akan dibiayai bersama oleh dua konsortium universiti dari Jepun dan Malaysia, dijangka memulakan operasinya dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Kita harap pelajarnya nanti bukan saja pelajar tempatan tetapi juga dari negara Asean," katanya.

