PARLIMEN | Polis masih menunggu arahan untuk membuka semula siasatan ke atas kematian Teoh Beng Hock, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil maklum hasil keputusan mesyuarat jemaah menteri pada 20 Jun 2018 supaya siasatan kes kematian Teoh Beng Hock dibuka semula.

"Pihak polis masih menunggu arahan dan skop siasatan dari pejabat peguam negara untuk memulakan siasatan berkenaan dan polis juga telah bersiap sedia dengan menubuhkan pasukan khas untuk mengendalikan kes ini," kata Muhyiddin dalam jawapan bertulis parlimen hari ini.

Muhyiddin berkata demikian sebagai menjawab Tan Kok Wai (HARAPAN-Cheras) yang bertanya tentang perkembangan kes itu.

20 Jun lalu, kabinet dilaporkan bersetuju untuk membuka semula siasatan kematian Teoh.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika itu berkata kerajaan akan berbincang dengan Peguam Negara Tommy Thomas berhubung tindakan selanjutnya.

Pada 16 Julai 2009, Teoh ditemukan mati selepas jatuh dari tingkat sembilan bekas ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam, tempat bekas pembantu ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah itu ditahan untuk disoal siasat.

[Baca berita penuh]