Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sumber: Lantikan Najib dalam 1MDB-IPIC dedah maklumat

Siasatan SPRM ke atas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal urusan 1MDB dengan firma pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) mencatatkan kemajuan dengan ‘orang dalam’ mendedahkan maklumat.

Orang dalam yang bergelaran "Datuk" itu dilantik oleh Najib sebagai pengantara antara kedua-dua syarikat itu beberapa tahun lalu, kata sumber yang rapat dengan siasatan berkenaan kepada Malaysiakini.

Pengantara itu menyerah diri kepada SPRM pada Jun lalu, dan dipercayai kini diletakkan di bawah program perlindungan saksi.

Beliau adalah individu yang sama dengan senarai yang dikehendaki SPRM pada tahun 2015 untuk membantu siasatan ke atas 1MDB.

Adalah difahamkan bahawa dalam beberapa siri penyiasatan SPRM bulan ini, suruhanjaya itu menyiasat Najib berdasarkan kenyataan yang dirakamkan oleh individu berkenaan.

Sumber itu memberitahu Malaysiakini bahawa walaupun Najib bertanggungjawab melantik pengantara 1MDB-IPIC, bekas perdana menteri itu didakwa pernah memberitahu penyiasat bahawa beliau mempercayai lantikannya itu dan tidak tahu mengenai perkembangan kerjanya.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan siasatan itu mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Najib akan berdepan enam pertuduhan pada Khamis ini berikutan siasatan berhubung perkara tersebut.

Akhbar The Straits Times (NST) sebelum ini melaporkan bahawa Najib dijangka berdepan sekurang-kurangnya empat lagi pertuduhan minggu ini berkaitan dengan urusan 1MDB dengan IPIC.

Menurut laporan berkenaan, Najib akan dituduh sebagai bertanggungjawab terhadap peranannya dalam penyelesaian hutang tahun lalu antara 1MDB dan firma pelaburan Abu Dhabi itu.

Sumber itu memberitahu NST bahawa SPRM dalam siasatannya, sedang meneliti bagaimana kerajaan BN sebelum ini menyelesaikan hutang menggunakan wang negara dan siapa yang memberi kebenaran itu - yang didakwa dibuat "tanpa kelulusan kabinet."

Satu penyelesaian dicapai tahun lalu oleh kementerian kewangan untuk membayar AS$1.2 bilion (RM5.04 bilion) berhubung tuntutan IPIC sebanyak AS$6.5 bilion. Najib ketika itu adalah menteri kewangan.

Lihat Komen
ADS