Paling Popular
Terkini

Kerajaan Kelantan membuat keputusan untuk menarik balik saman mereka ke atas Petronas dan kerajaan persekutuan bagi menuntut bayaran royalti petroleum di perairan negeri itu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

Menurutnya, saman yang difailkan pada 2011 ditarik balik susulan komitmen Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membayar royalti kepada Kelantan dan Terengganu seperti dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara.

"Kelantan tarik balik ini kerana amat yakin dengan ketetapan yang dinyatakan oleh perdana menteri dalam mesyuarat jawatankuasa Majlis Kewangan Negara," katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu, hari ini.

Kelantan memfailkan saman tersebut ketika negeri terbabit ditadbir oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bersama exco kanannya ketika itu, Datuk Husam Musa, Kelantan menyaman Petronas dan kerajaan pusat apabila Putrajaya tidak membayar royalti untuk minyak yang dicari gali di perairan negeri tersebut sejak 2004.

Saman terhadap Petronas dan kerajaan persekutuan itu meliputi dakwaan pelanggaran perjanjian kontrak dan turut membabitkan isu perlembagaan.

Proses memfailkan saman tersebut berlangsung di Kuala Lumpur pada 30 Ogos 2010 dan turut dihadiri Nik Abdul Aziz.

Tommy Thomas

Kerajaan Kelantan ketika itu diwakili peguam Tommy Thomas. Beliau kini dilantik menjadi peguam negara.

Sementara itu, Ahmad turut mengulangi ketetapan yang dinyatakan Dr Mahathir berhubung komitmen pusat terhadap Kelantan dan Terengganu.

"Antara perkara yang diberitahu, kerajaan akan mansuhkan program Wang Ihsan dan bayaran tunai petroleum akan disalurkan secara terus kepada kerajaan negeri tanpa mengambil kira status negeri yang dikuasai pembangkang.

"Jadi kerajaan Kelantan amat yakin dengan janji atau keputusan yang dibuat oleh perdana menteri dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara itu.

"Jadi kita tarik balik secara rasminya dan akan menghantar surat rasmi kepada mahkamah secepat mungkin," katanya.

Lihat Komen
ADS