Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wee tak kisah cadangan Gan mahu bawa MCA keluar BN

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata janji bekas timbalan menteri belia dan sukan Gan Ping Sieu untuk membawa MCA keluar dari BN jika memenangi jawatan presiden parti itu sekadar strateginya meraih sokongan.

Kata Wee isu kedudukan MCA dalam BN sudah dinyatakan dalam manifesto parti itu sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 diadakan.

Dalam manifesto itu katanya kedudukan MCA akan diserahkan kepada perwakilan parti untuk memilih kekal atau meninggalkan gabungan berkenaan.

“Ini (janji membawa MCA keluar BN) adalah strategi calon tersebut (Gan).

"Bagi saya, isu itu sudah ada dalam manifesto MCA (iaitu) saya memperihalkan tentang hala tuju parti ini, kami serahkan kepada perwakilan,” katanya dalam sidang media di lobi parlimen, hari ini.

MCA akan mengadakan pemilihan parti pada 4 Nov ini. Ia akan menyaksikan parti tersebut dipimpin tokoh baru selepas penyandangnya Datuk Seri Liow Tiong Lai enggan mempertahankan jawatan tersebut.

Wee ialah timbalan Liow sebelum ini dan menawarkan diri untuk mengisi kekosongan jawatan presiden.

Gan yang juga bekas naib presiden MCA pula menyertai persaingan tersebut.

Gan Ping Sieu

MCA menunjukkan prestasi amat buruk dalam PRU lalu apabila daripada 39 kerusi parlimen yang ditandingi, hanya satu terselamat iaitu Ayer Hitam di Johor.

Wee ialah anggota parlimen bagi kawasan berkenaan.

Hormati suara akar umbi

Bekas presiden MCA Tan Sri Dr Chua Soi Lek beberapa kali menyatakan parti itu sepatutnya meninggalkan BN selepas PRU ke-13 lalu.

Dengan itu katanya sokongan kepada MCA sepatutnya dapat dipulihkan. Untuk rekod pada PRU ke-12 parti itu memenangi 15 kerusi parlimen dan 32 dewan undangan negeri (DUN).

Jumlah itu merosot kepada tujuh kerusi parlimen dan 11 DUN pada PRU ke-13. MCA meletakkan calon di 37 kerusi parlimen dan 90 DUN pada 2013 itu.

Wee turut berkata pihaknya akan membincangkan hala tuju parti bersama perwakilan pada mesyuarat agung mereka tidak lama lagi.

“Nanti isu ini akan ditentukan bersama-sama oleh para perwakilan, ke mana kita nak pergi... semua ini adalah atas dasar menghormati suara ahli parti.

“Sebab itulah mesyuarat perwakilan merupakan badan tertinggi untuk membuat keputusan,” katanya.

Gan menyatakan cadangannya untuk membawa MCA bebas daripada menjadi komponen BN pada 22 Okt lalu.

Gan berkata MCA perlu membuat pendirian berkenaan selepas pemimpin Umno mengambil beberapa tindakan yang dianggap tidak wajar, termasuk bekerjasama dengan PAS.

Selain Wee dan Gan, seorang lagi calon untuk merebut jawatan presiden MCA ialah Ketua Pemuda MCA Beruas Ngoo Teck Keong.

Lihat Komen
ADS