Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hisham boleh serah maklumat kepada k'jaan, tak perlu ke China'

Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum membincangkan tawaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mencari Low Taek Jho di China, kata timbalan menterinya Datuk Mohd Azis Jamman.

Namun Azis berkata Hishammuddin boleh saja terus memberi maklumat di tangannya kepada kerajaan tanpa perlu pergi sendiri ke China, di mana ahli perniagaan kontroversi itu dipercayai menyembunyikan diri.

"Setakat ini (KDN) tak ada (membincangkan tawarannya), cara terbaik adalah beliau beri maklumat kepada kementerian. Tak perlu ke sana.

"Jika dia ada maklumat berkenaan keberadaan Jho Low, bukankah lebih baik dia tampil beri maklumat kepada pihak kita, baik polis atau kementerian," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Azis berkata maklumat yang mungkin ada pada Hishammuddin semestinya membantu usaha pihak berkuasa mencari Jho Low.

Pada 22 Oktober lalu, Hishammuddin yang juga bekas menteri dalam negeri menawarkan dirinya untuk ke China demi membawa pulang Jho Low untuk dibicarakan di mahkamah.

“Saya secara peribadi saya nak lihat isu 1MDB diselesaikan dan kita dapat keadilan, nak tahu hujung pangkal bermakna," katanya, sambil berkata beliau boleh berbuat demikian ekoran hubungan terdahulu dengan pemimpin negara itu.

Lihat Komen
ADS