Kes mahkamah Najib memang serba senang, kata Hanipa
Walaupun berada di dua pihak yang berbeza, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin 'bersetuju' dengan pandangan diberikan peguam bela Datuk Seri Najib Razak di mahkamah hari ini.
Mengulas kenyataan dibuat Tan Sri Shafee Abdullah sebelumnya Hanipa berkata perbicaraan kes pecah amanah melibatkan Najib memang boleh dianggap "senang".
Justeru kata Hanipa beliau tidak terkejut jika Shafee berpendapat tugasnya membela bekas perdana menteri itu tidak akan berdepan dengan banyak cabaran.
Bagaimanapun kenyataan Hanipa tentulah bukan sepolos itu.
Seperti selalu anggota parlimen Sepang itu sebenarnya bersikap sinis dan menyindir kenyataan dibuat Shafee.
Memetik laporan Malaysiakini Hanipa berkata beliau menyambut baik kenyataan Shafee yang dianggapnya terlebih yakin.
"Baguslah ada sikap over confident (terlalu yakin) begitu.
"Yalah anda (Shafee) bukan sahaja peguam bela tapi juga memakai topi lain juga (kerana menjadi tertuduh) dalam kes lain," katanya.
Berdepan mimpi ngeri
Justeru kata Hanipa yang juga seorang peguam berpengalaman, agak munasabah untuk Shafee menanggapi kes Najib hari ini sebagai akan "bersenang-senang".
"Sebab rasanya dari awal memang nampaknya banyak benda yang senang dalam isu-isu 1MDB ini.
"Senang buat duit, senang beli macam-macam harta, senang (sebab) tak perlu jawab di parlimen sebelum ini, senang hilang dari radar pendakwa sebelum ini, hingga walaupun 1MDB berasal dari negara ini, tiada pendakwaan dibuat ke atas mana-mana pihak.
"Bukankah semuanya itu senang... hinggalah datang 9 Mei," katanya merujuk kepada tarikh pilihan raya umum (PRU) yang menyaksikan Pakatan Harapan menumbangkan BN sekali gus menawan Putrajaya.

Siang tadi Shafee berpendapat enam tuduhan pecah amanah yang dikenakan kepada Najib adalah rekaan Pejabat Peguam Negara (AGC).
Malah Shafee yang menjadi salah seorang peguam paling kanan di negara ini menggelar tuduhan tersebut "sangat bodoh".
Justeru katanya pihak pembelaan akan "bersenang-senang" melakukan tugas membela bekas perdana menteri dan pada masa sama pihak pendakwaan bakal berdepan "mimpi ngeri".
Selain Najib, tuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tadi turut melibatkan bekas ketua setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Mohd Irwan Serigar.
Untuk rekod AGC menyerahkan tugas ketua pendakwaan untuk kes tersebut kepada bekas peguam Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.
Perbicaraan diadakan di depan hakim Azman Ahmad. Najib dan Mohd Irwan mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.
Kedua-dua mereka dibenarkan diikat jamin RM1 juta setiap seorang.

