Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwaan politik wang: PKR Kedah sedia beri kerjasama kepada SPRM
Diterbitkan:  Oct 26, 2018 12:10 AM
Dikemaskini: 4:16 PM

PKR Kedah sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan terhadap dakwaan politik wang dalam pemilihan parti itu, kata pengerusinya Azman Ismail.

Kenyataan itu susulan tindakan SPRM mereman seorang pemimpin PKR negeri itu selama tujuh hari selepas didakwa meminta rasuah.

Menurut Bernama yang memetik sumber, beliau didakwa meminta RM20,000 daripada pengadu bagi membolehkan pengadu bertanding untuk jawatan ketua cabang.

Lelaki itu yang bertanding pada PRU lalu bagaimanapun berkata menjadi mangsa keadaan oleh pihak yang mahu menghancurkan kerjaya politiknya, menurut laporan itu lagi.

"Kami menentang amalan politik wang dan bersedia memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam siasatan mereka.

"Bagaimanapun kami berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah di mahkamah," kata Azman dalam kenyataan.

Justeru beliau menggesa anggota parti agar kekal bertenang dan tetap keluar mengundi dalam pemilihan peringkat negeri itu pada 26 dan 27 Oktober ini.

Menurut laporan The Star pada 16 September lalu, SPRM menahan dua anggota jawatankuasa pemilihan PKR Kedah selepas didakwa meminta RM20,000 daripada seorang calon sebagai jaminan namanya kekal dalam sistem untuk pemilihan peringkat cabang.

Proses pemilihan PKR peringkat Kedah sudah dilangsungkan pada 22 September lalu tetapi keputusan di 10 daripada 15 cabang dibatalkan ekoran masalah teknikal dan perlu mengadakan pemilihan semula.


Lihat Komen
ADS