Ezam dakwa ada usaha gagalkan kongres PKR
Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ezam Mohd Noor berkata ada pengacau dalam parti itu yang berniat menggagalkan Kongres Nasional Tahunan PKR beberapa hari sebelum ia diadakan.
Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ezam Mohd Noor berkata ada pengacau dalam parti itu yang berniat menggagalkan Kongres Nasional Tahunan PKR beberapa hari sebelum ia diadakan.
"Satu dua hari sebelum kongres ini (diadakan), ada usaha-usaha untuk menggagalkannya...dalam satu buletin internet keluar berita kononnya kongres ini adalah masalah...pejabat setiausaha agung ada masalah.
"Persoalan motifnya mengapa (perkara itu) harus dilahirkan dalam media di luar parti dua tiga hari sebelum kongres (diadakan)," katanya dalam ucapan penggulungannya petang ini.
Pagi tadi, dalam ucapan dasarnya, Ezam mengingatkan parti supaya berwaspada dengan pengacau dari dalam yang menurutnya "berwajah reformis tetapi hati mereka sejenis dengan politikus murahan di luar".
Berikutan itu, ada perwakilan yang membahaskan ucapan dasarnya, telah meminta beliau supaya mendedahkan identiti pengacau terbabit untuk dinyahkan dari parti tersebut.
Bagaimanapun, dalam ucapan penggulungannya itu, Ezam berkata, beliau tidak berhasrat untuk mendedahkan nama pengacau ini kerana jumlahnya terlalu kecil
"Cukuplah dengan sekadar ingatan saya dan Angkatan Muda untuk (mereka) segera mengubah sikap dan menukar isi dari palsu kepada tulen, sebelum kita mengambil tindakan untuk mengenyahkan mereka," katanya.
Kelompok reformis
"Kesetiaan saya adalah pada perjuangan (parti)...siapa yang khianat kepada perjuangan (parti) betapa dekatpun mereka dengan saya, akan saya guna kudrat saya untuk menentang mereka," tambahnya.
Beliau juga menyifatkan perbuatanf memberi maklumat kepada media luar kerana tidak berani melakukan secara terbuka, adalah perbuatan pengecut yang bukan dari kelompok reformis.
"Saya tidak kata kita tidak boleh kritik parti...(tapi) kita gunaka saluran yang betul dan kritik secara terbuka....," tambahnya.
Ezam mengaku beliau sendiri pernah dituduh oleh 'teman-teman' mengatakan perkara yang tidak enak mengenai parti tersebut.
"Dalam akhbar Star, saya (pernah) disebut mengatakan parti ini lemah...saya mengaku saya sebut...tapi saya tidak berselindung diri dan saya benarkan pemberita untuk kata (sedemikian).
"Bagi saya adalah lebih baik berterus terang dan berlaku jujur. Memang benar parti kita lemah, tetapi (ia) tidak bermakna ia akan lemah setahun dari sekarang.
"Lebih baik jujur daripada menipu rakyat dan kata kita kuat apabila orang tahu kita tidak kuat untuk memerintah. Sebagai Sebagai reformis mesti berani menghadapinya," katanya.

