Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Warganegara Malaysian Prabu N Pathmanathan digantung mati di Penjara Changi, Singapura pada Subuh tadi atas kesalahan menyeludup dadah, kata peguam N Surendran.

Surendran berkata, anggota keluarnya mendiang telah menuntut mayatnya pagi ini dan dijangka dibakar hari ini juga.

Penasihat kumpulan peguam Lawyers for Liberty itu menyelar hukuman itu sebagai kejam dan “melanggar proses wajar”.

Singapura juga, katanya, mengetepikan rayuan Malaysia untuk menggantung hukuman itu.

Sementara itu, Bernama memetik N Surendran, peguam yang mewakili keluarga lelaki itu sebagai berkata, Prabu telah dihukum gantung di penjara Changi pada waktu subuh hari ini bagi kesalahan menyeludup dadah.

"Keluarga telah menuntut mayatnya dan upacara pembakaran mayat akan diadakan hari ini," kata penasihat Lawyers for Liberty itu dalam kenyataan yang dihantar kepada Bernama, yang turut disertakan dengan foto terkini Prabu.

Peguam itu berkata lewat malam tadi, Pejabat Presiden Singapura menghantar surat kepada keluarga Prabu bagi menjawab petisyen pengampunan yang dikemukakan mereka.

Surat itu menyatakan "proses pengampunan telah dimuktamadkan" dan "kami tidak dapat memenuhi permintaan anda", katanya.

Surendran berkata, ibu bapa dan adik beradik Prabu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan semua orang di pihak kedua-dua negara atas sokongan dan doa mereka dalam tempoh beberapa hari lepas yang sukar.

"Kami difahamkan bahawa menteri-menteri Kabinet Malaysia telah berhubung secara langsung dengan pemimpin-pemimpin Singapura dalam usaha untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mati itu, tetapi tidak berhasil," kata Surendran.

Dilaporkan pada 24 Okt, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, beliau akan menulis surat kepada kerajaan Singapura untuk menggesa bagi hukuman mati ke atas Prabu dipinda.

Liew berkata, beliau berharap Singapura akan meminda hukuman ke atas Prabu kepada hukuman penjara seumur hidup.

Prabu, 31, dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan menyeludup 227.82g dadah diamorphine atau heroin ke negara pulau itu pada 31 Dis, 2014.

Lihat Komen
ADS