Mahadzir Khalid Menteri Besar Kedah yang baru
Datuk Mahdzir Khalid dinamakan sebagai Menteri Besar Kedah yang baru menggantikan Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang meletak jawatan kerana masalah kesihatan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan malam ini.
Datuk Mahdzir Khalid dinamakan sebagai Menteri Besar Kedah yang baru menggantikan Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang meletak jawatan kerana masalah kesihatan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan malam ini.
Beliau berkata, nama pemangku Menteri Besar Kedah itu telah disembahkan kepada Sultan Kedah dan mendapat perkenan baginda untuk menggantikan Syed Razak.
"Semasa saya membayangkan hasrat saya untuk melantik pengganti Syed Razak iaitu Mahdzir Khalid, Duli Yang Maha Mulia Sultan telah menyatakan persetujuan," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang TUDM Subang dekat sini sekembalinya dari lawatan ke Kelantan hari ini.
Abdullah berkata, beliau akan menyampaikan surat rasmi mengenai pelantikan Mahdzir kepada Sultan Kedah esok untuk mendapat perkenan rasmi baginda.
Syed Razak, yang sedang bercuti panjang selepas diserang penyakit paresis, hari ini meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah dan telah mengadap Sultan Kedah bagi menyatakan hasratnya itu.
Abdullah apabila ditanya bila pelantikan Mahdzir akan berkuatkuasa, berkata ia akan dilakukan selepas surat rasmi mengenai pelantikan Mahdzir disembahkan kepada Sultan Kedah dan mendapat perkenan rasmi baginda.
Pemangku MB
Mahdzir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi negeri dan anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Pedu, masih memangku jawatan Menteri Besar Kedah sejak 17 Julai lalu, dan akan berakhir pada 16 Januari tahun depan.
Abdullah berkata, beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah bahawa Syed Razak telah mengadap Sultan Kedah di Istana Anak Bukit pada 3 petang untuk menyampaikan hasratnya melepaskan jawatan berkuatkuasa mulai hari ini.
Menurut Bernama, sebelum itu, Syed Razak telah memaklumkan kepada beliau hasratnya untuk meletakkan jawatan dan memberi peluang kepada Menteri Besar baru untuk menerajui negeri itu, kata Perdana Menteri.
Beliau berkata, peletakan jawatan Syed Razak adalah kerana kesihatannya yang agak terganggu, oleh itu beliau tidak dapat memberikan sepenuhnya kekuatan dan tenaga untuk melaksanakan tugas yang berat serta mencabar sebagai Menteri Besar.
Abdullah berkata Syed Razak mahukan Kedah agar terus maju dan tanggungjawab serta tugas Menteri Besar dapat dilaksanakan sebaik-baiknya oleh penggantinya.
Walaupun Syed Razak, 61, melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar, beliau masih mengekalkan kedudukannya sebagai wakil rakyat dan anggota Umno, katanya.
Perlembagaan Kedah
Ditanya sama ada Syed Razak akan dilantik memegang jawatan lain, beliau berkata perkara itu tertakluk kepada Perlembagaan Negeri Kedah dan menyerahkannya kepada Menteri Besar yang baru untuk membuat keputusan.
"Tidak payah tanya saya. Kita serah pada Menteri Besar baru," katanya.
Sambil mengucapkan selamat bersara kepada Syed Razak dan berdoa serta berharap Syed Razak akan segera sembuh, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Syed Razak di atas khidmat dan jasa sebagai Menteri Besar serta sumbangannya kepada kerajaan pusat.
Peletakan jawatan Syed Razak yang baru pulang bercuti selama empat minggu dari Australia Isnin lepas, menamatkan spekulasi tentang kedudukannya selepas diserang sakit paresis pada 8 April lalu.
Sementara itu, Mahdzir yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur malam ini, enggan mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri itu semasa dihubungi Bernama.
Anak kelahiran Alor Star dan pernah bertugas sebagai pegawai khas kepada Perdana Menteri pada tahun 2000 itu berkata beliau akan hanya memberi ulasan mengenai jawatan Menteri Besar selepas menerima watikah pelantikan.
Syed Razak, anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kubang Rotan yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, sejak diserang paresis pada 8 April lepas telah mendapatkan pelbagai rawatan, termasuk daripada beberapa pakar di Jerman, Singapura dan dalam negara.
Syed Razak, yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah mempunyai gaya kepimpinan "mesra rakyat", menunjukkan keazaman tinggi untuk pulih dan terus memimpin negerinya walaupun sakit.
Beliau yang pada mulanya hanya mendapatkan rawatan di Pulau Pinang dan Singapura terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar dan hanya mengambil cuti panjang selama tiga bulan mulai 17 Julai untuk mendapat rawatan pulih anggota dari Klinik Schemeider di Konstanz, Jerman selama enam minggu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.