Pengerusi Penerbangan Malaysia (MAS), Datuk Dr Munir Majid digesa supaya mengundurkan diri bagi membolehkan pelantikan pengerusi yang baru untuk menerajui dan memulihkan kemelut kewangan syarikat penerbangan nasional itu.

Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee yang mengutarakan gesaan itu, berkata pengunduran itu bagi membolehkan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS yang baru Idris Jala dapat menjalankan tugasnya bergandingan dengan pengerusi baru dalam memulihkan imej MAS yang tercalar.

Pengunduran itu juga dapat memberi ruang yang selesa kepada Jala untuk menjalankan amanahnya memulihkan MAS yang kian tenat, katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini.

Pengunduran itu juga, katanya akan memberi peluang kepada Jala berkongsi idea dan segala perancangan yang ingin dibentangkan pada Februari depan bersama pengerusi baru supaya hasilnya bagus dan membawa kebaikan kepada MAS.

"Sebab itu saya cadangkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican dibawa ke MAS untuk memindahkan kepakarannya membawa keuntungan berbilion ringgit kepada Petronas ke dalam MAS," katanya.

Pada Persidangan Dewan Negara minggu lalu, Syed Ali mendedahkan kontroversi pembelian lukisan bernilai RM1.55 juta oleh MAS, pembayaran gaji RM7,525 sehari kepada warga asing Chris Andrew dan pelantikan Peter Read sebagai Pengarah Operasi MAS.

Menurut Bernama, Syed Ali berkata tindakan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar memohon maaf berkali-kali dalam Dewan Negara berikutan jawapannya mengenai isu pembelian lukisan oleh MAS untuk menjaga imej korporatnya adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku.

Aduan bekas juruterbang

"Timbalan Menteri terpaksa bagi jawapan begitu kerana itulah jawapan yang diberikan oleh MAS kepadanya... ini imej tak baik untuk kerajaan, dan keadaan ini berlaku disebabkan oleh tiada wakil Kementerian Pengangkutan dalam MAS," katanya.

Beliau mengakui turut menerima aduan daripada bekas juruterbang MAS yang berhijrah menyertai syarikat antarabangsa lain kerana tawaran gaji yang lebih lumayan.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi amat menitikberat soal ketelusan dan hasrat Perdana Menteri itu perlu ditunaikan oleh mereka yang memikul amanah menerajui sebuah syarikat milik kerajaan yang besar seperti MAS.

"Ini soal ketelusan, bagaimana kita hendak jadi seorang ketua yang baik jika tindak-tanduk kita dalam syarikat kerajaan tidak selaras dengan permintaan ketua sendiri," katanya.

Syed Ali berkata Jala telah menunjukkan ketelusan dan membawa imej bersih apabila menolak pemberian sebuah kereta mewah oleh MAS, sebaliknya menukarnya kepada sebuah kereta nasional dengan seorang pemandu.

"Perdana Menteri sendiri pun pakai Proton Perdana tetapi saya tak fikir pengerusi MAS pakai kereta tempatan, sebab itu saya minta beliau (Datuk Dr Munir Majid) meletakkan jawatan dan mengambil tanggungjawab atas kerugian dalam syarikat ini," katanya.