Di sebalik penafian menteri Arab, Najib bertegas RM2.6b daripada Saudi
Datuk Seri Najib Razak bertegas wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya adalah sumbangan keluarga diraja Saudi, susulan penafian menteri luar negara itu Adel Ahmed Al-Jubeir berhubung perkara itu hari ini.
Dalam hantaran di Facebook tidak lama selepas penafian itu, Najib sekali lagi mengongsikan beberapa dokumen bank dan surat pada tahun 2011 dan 2013 yang menurutnya berhubung wang itu.
"Adel Ahmed Al-Jubeir pernah dua kali dengan mulut sendiri mengesahkan Arab Saudi yang menderma wang kepada saya.
"(Tetapi) Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah hari ini mendakwa Adel memberitahunya wang yang disebut RM2.6 bilion tiada kaitan dengan kerajaan Arab Saudi," kata bekas perdana menteri.
Menurut Bernama, Saifuddin berkata perkara itu dimaklumkan Adel ketika berkunjung ke Wisma Putra hari ini.
“Beliau (Adel) menyatakan bahawa (derma RM2.6 bilion) tidak ada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi," kata Saifuddin.
Antara dokumen yang dikongsi semula Najib adalah surat bertarikh 1 Februari 2011 yang menggunakan kepala surat pejabat "Prince Saud Abdulaziz Majid Al Saud", tetapi dengan tandatangan "Prince Saud Abdulaziz Al-Saud".
Baca: Perihal 25 pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram terhadap Najib
Menurut surat itu, Saud Abdulaziz Al-Saud berkata memberi sumbangan AS$100 juta kepada Najib untuk digunakan mengikut kesesuaiannya, sebagai penghargaan atas sumbangannya kepada dunia Islam, antaranya menubuhkan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM).
Empat lagi dokumen adalah mesej Swift berhubung transaksi ke akaun peribadi AmPrivate miliknya. Dua dokumen menamakan "Prince Faisal bin Turkey bin Bandar Alsaud” sebagai pengirim wang itu.
"Hampir semua wang telah dipulangkan empat bulan selepas resit. Saya didakwa kerana menerima wang dan juga memulangkannya," kata Najib.
Seperti yang dinyatakan Malaysiakini September lalu, tidak jelas "Putera Faisal" daripada salasilah keluarga diraja Arab Saudi yang mana.
Dua dokumen lagi menamakan kementerian kewangan Arab Saudi sebagai sumber dana.
Walaupun Najib berulangkali menyatakan RM2.6 bilion memang sumbangan daripada negara itu, pendakwa Malaysia berkata aliran wang itu membawa kepada 1MDB.
Pada September lalu, Najib dihadapkan dengan 25 pertuduhan yang mendakwa wang tersebut dimasukkan ke akaun peribadinya menerusi Tanore Finance Corporation, yang didakwa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) milik proksi kepada Jho Low.

